Update Apabila yang keliru berbicara mengenai Akta 164 >> Berita Malay 18

Perbahasan berhubung pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Membaharui (Perkahwinan Dan Perceraian)(Pindaan) 2017 atau Akta 164 selesai beberapa hari lalu. Yang terlibat membahasnya di dewan rakyat memahami sebab mengapa pindaan itu dikemukakan.
Malangnya sehari dua selepas selesai perbahasan, timbul pula berbagai tafsiran dan dakwaan dari yang tidak terlibat. Kononnya kepentingan Islam terjejas dengan pindaan yang telah diluluskan.
AMANAH pula dikutuk kerana tidak menolak pindaan tersebut.
Jika ditolak maka yang sedia ada akan kekal. Baik sangatkah yang sedia ada? Syariie sangatkah yang sediada sehingga pindaan yang dibawa wajib ditolak?
Hakikatnya yang sedia ada banyak sangat kelompangannya dan walaupun pindaan yang dibawa tidak sempurna, namun ia dianggap mampu menghasilkan keadaan yang lebih adil dari yang sedia ada.
Kelompangan sedia ada
Pokoknya pindaan ini bertujuan untuk mengatasi masalah yang timbul apabila salah seorang dari pasangan suami isteri memeluk agama Islam. Asalnya kedua-dua mereka tidak beragama Islam.
Apabila salah seorang dari mereka memeluk agama Islam, maka dia sudah tidak boleh ke mahkamah sivil kerana dia beragama Islam. Sedangkan perkahwinannya pada zaman dia bukan Islam dan didaftarkan di mahkamah sivil. Ia perlu dibatalkan di mahkamah sivil.
Sekiranya perkahwinannya tidak dibatalkan di mahkamah sivil ia akan terus dianggap sah oleh mahkamah sivil.
Maka segala persoalan yang terbabit dengan perceraian yang telah berlaku, sama ada berhubung harta sepencarian, penjagaan dan kos tanggungan terhadap anak-anak sekiranya ada, dan sebagainya tidak boleh dituntut atau ditetapkan oleh mahkamah sivil. Perkahwinan itu akan tetap dianggap sah oleh mahkamah sivil.
Sekiranya perkahwinan itu dibatalkan di mahkamah sivil oleh pasangan yang kekal dengan agama asalnya, maka mahkamah sivil akan dituntut membuat keputusan dan menjatuhkan hukuman berhubung segala isu berkaitan perceraian tersebut tanpa kehadiran pasangan yang telah memeluk agama Islam.
Sudah pasti mahkamah sivil tidak mampu menentukan semuanya secara adil kerana hanya dapat mendengar dari satu pihak.
Pada masa yang sama, pasangan yang telah memeluk agama Islam akan ke mahkamah syariah. Dia mendaftarkan dirinya sebagai orang Islam dan dengan sendirinya perkahwinan sivilnya dibatalkan sekiranya pasangannya tidak turut memeluk agama Islam. Akan tetapi pembatalan perkahwinan sivil oleh mahkamah syariah tidak diambil-kira oleh mahkamah sivil.
Pasangan yang kekal dengan agama asal tidak boleh pula dibawa ke mahkamah syariah untuk menyelesaikan persoalan yang timbul hasil perceraian mereka!
Ini adalah kerana dia tidak beragama Islam! Maka segala persoalan berhubung perceraian mereka terpaksa diputuskan oleh mahkamah syariah tanpa kehadiran bekas pasangan yang bukan Islam.
Sepertimana mahkamah sivil, mahkamah syariah juga tidak mampu menjamin keadilan kerana hanya dibenarkan mendengar dari satu pihak.
Akhirnya yang beragama Islam ke mahkamah syariah dan yang bukan islam ke mahkamah sivil. Dua mahkamah ini dengan bidang kuasa dan peraturan mereka masing-masing dan tidak saling berhubung satu sama lain.
Maka timbullah keadaan di mana mahkamah syariah memutuskan sesuatu dan mahkamah sivil memutuskan sesuatu yang lain. Kedua-dua mahkamah bertindak berdasarkan dakwaan hanya satu pihak.
Read More / Baca Lagi >>

Subscribe to receive free email updates:

Related Posts :