Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC) Sarawak membayar RM2.88 juta kepada 2 kontraktor untuk mengecat semula 12 unit perumahan awam, tetapi kerja itu tidak pernah dijalankan, menurut laporan ketua audit negara bagi tahun lalu yang dikeluarkan semalam.
Audit yang dijalankan antara Mac dan Mei tahun lalu mendapati beberapa pemerolehan oleh HDC bawah Kementerian Perumahan Sarawak itu tidak mematuhi peruntukan Akta Prosedur Kewangan dan peraturan pemerolehan lain.
Selain bayaran RM2.88 juta untuk kerja mengecat semula, audit mendapati bayaran untuk Pakej 1 dan Pakej 2 projek naik taraf Jalan Utama di Sibu didahulukan tanpa izin sewajarnya.
Bayaran pendahuluan RM16.08 juta itu menyebabkan kerajaan Sarawak terpaksa menanggung faedah sehingga RM1.77 juta kerana kelewatan membayar rakan HDC, HDCam Sdn Bhd, yang membiayai kerja itu pada awalnya.
Audit turut mendapati bayaran mencecah RM33.40 juta dibuat kepada pembekal tanpa pengesahan oleh pegawai yang berkuasa, termasuk 6 baucar bayaran mencecah RM20.77 juta yang tidak disokong dengan Sijil Bayaran.
Audit juga menonjolkan isu dalam pembinaan Hotel Riverside Majestic di Kuching, Sarawak, hotel dimiliki Sejadu Sdn Bhd, anak syarikat Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (PPES), yang menerima tawaran dari kerajaan Sarawak untuk membangunkan tanah kosong yang menjadi tempat letak hotel itu.
Nilai asal projek 24 bulan itu RM59.89 juta dan pembinaan bermula 24 Jun 2012.
Audit yang dijalankan antara November dan Disember 2016 menemui isu dengan pengurusan projek itu, iaitu kegagalan untuk menyiapkan projek walaupun diberi 7 pelanjutan sehingga 758 hari.
Kos projek itu turut meningkat sebanyak RM8.07 juta, iaitu kenaikan 13.5% dari kos asal.
Turut dilaporkan caj Ganti Rugi Tertentu Dan Ditetapkan (LAD) tidak dikenakan ke atas kerja yang tertangguh 148 hari. - FMT