Update BENTONG DESTINASI 'FRESH AIR LUNG WASHING' PERTAMA >> Berita Malay 18


Bentong destinasi 'Fresh Air Lung Washing' pertama


Bentong yang terkenal dengan destinasi eko pelancongan dinobatkan sebagai destinasi 'Fresh Air Lung Washing' pertama negara.

Daerah itu akan dijadikan hab ekopelancongan terbaik negara yang mampu menarik kedatangan pelancong tempatan dan antarabangsa.

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) kementerian akan terus memberi perhatian kepada pelbagai produk pelancongan dan tidak hanya menumpukan kepada produk terkenal sahaja.

Menurutnya, pemilihan Bentong sebagai destinasi 'Fresh Air Lung Washing' atau udara segar membersih paru-paru amat bertepatan kerana kedudukan geografinya di lereng Banjaran Titiwangsa yang menjadikan Bentong sebagai khazanah tidak ternilai untuk negara

"Sekretariat NBOS 'Fresh Air Lung Washing' Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan mengambil masa enam bulan untuk membangunkan pakej-pakej pelancongan di Bentong.

"Hasilnya Bentong semakin dikenali dalam kalangan pelancong asing terutamanya dari China yang mana lebih daripada 10 bas membawa pelancong dari China mengunjungi Bentong setiap bulan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Bentong sebagai destinasi eko-pelancongan 'Fresh Air Lung Washing' di Dataran Bentong di sini semalam.

Hadir sama, Menteri Pengangkutan yang juga Ahli Parlimen Bentong, Datuk Seri Liow Tiong Lai; Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Ghafar A. Thambi; Ketua Pengarah Pelancongan Malaysia, Datuk Mirza Mohd Tayab dan Pegawai Daerah, Datuk Azhar Arshad.

Mohamed Nazri berkata, daerah Bentong yang terkenal dengan halia berkualiti tinggi akan dijadikan penanda aras terhadap usaha-usaha pembangunan destinasi ekopelancongan lain pada masa akan datang.

Menurutnya, kedudukan daerah itu juga amat strategik iaitu sebagai pintu masuk laluan penghubung utama ke negeri-negeri di Pantai Timur Semenanjung dari arah Lembah Kelang.

"Landskapnya yang berbukit bukau dikelilingi hutan hijau yang dihiasi air terjun, gua dan sebagainya meletakkan daerah ini sebagai destinasi buruan bagi pencinta alam dan pelancong yang ingin menikmati udara segar.

"Daerah ini juga amat sinonim dengan penanaman halia berkualiti tinggi dan merupakan syurga bagi penggemar buah-buahan tempatan terutamanya durian Musang King.

"Galeri Bentong pula memaparkan kisah tokoh negara Loke Yew yang menjadikan daerah ini sebagai salah satu pusat operasi perniagaannya," katanya.

Beliau berkata, daerah Bentong juga mempunyai kepelbagaian etnik termasuk Orang Asli yang hidup harmoni dan ini dapat dilihat ketika mengunjungi pasar paginya.

Sementara itu, beliau berharap produk pelancongan 'Fresh Fresh Air Lung Washing' itu mampu menjadikan sektor pelancongan di daerah ini terus berkembang dan menjadi salah satu penggerak utama industri itu di negara ini.


Subscribe to receive free email updates: