Update ‘Cari punca atasi masalah ramai graduan menganggur’....pemimpin sebok bermewah >> Berita Malay 18

Perunding pendidikan, Tan Ai Mei berkata, sistem pendidikan Malaysia terlalu berorientasikan peperiksaan dan memfokuskan bilangan A yang boleh diperoleh pelajar.
graduates-1
Seorang perunding pendidikan memberi amaran terhadap sikap memandang ringan kadar pengangguran dalam kalangan graduan yang tinggi.
Bercakap kepada FMT, Dr Tan Ai Mei menggesa Kementerian Pendidikan Tinggi “mencari jalan penyelesaian” dan menyiasat punca utama masalah itu, bukannya menukar sistem lain.
Beliau berkata, sistem pendidikan Malaysia terlalu berorientasikan peperiksaan dan memfokuskan bilangan A yang boleh diperoleh pelajar.
Katanya, pelajar kurang berkelulusan yang diterima masuk ke universiti ialah satu lagi masalah, sama seperti pendidik yang tidak mampu meningkatkan standard pelajarnya.
“Di Jerman, asas sistem pendidikannya sangat luas. Di Malaysia, sistemnya terlalu berorientasikan peperiksaan dan asasnya sempit. Ini membentuk masyarakat yang kurang minat dan sikap ingin tahu.
“Kementerian harus mencari penyelesaian kepada masalah pengangguran ini. Pentadbiran akademik juga perlu diwujudkan, bukannya pentadbiran korporat,” katanya kepada FMT.
Tan mengulas cadangan Presiden Pusat Hal Ehwal Sedunia (Icon), Abdul Razak Baginda untuk Malaysia melaksanakan sistem pendidikan hibrid yang menggabungkan latihan akademik dan vokasional.
Sekolah teknikal profesional
Tan berkata, pendidik perlu mempunyai ilmu pengetahuan luas dan kefahaman tinggi mengenai subjek diajar mereka dan beliau kesal negara sekarang berdepan masalah ini.
Beliau turut menekankan keperluan membezakan latihan akademik, vokasional dan separa profesional.
Seorang pendidik, Prof Madya Dr Kok Boon Ching berkata, sekolah teknikal profesional dengan kualiti lebih baik perlu ditubuhkan untuk menawarkan kemahiran amali dan ilmu teori kepada pelajar luar biasa yang boleh meneruskan kerjaya akademik mereka.
“Salah satu keperluan untuk merealisasikan ini adalah mewujudkan keseragaman dan jurang pendapatan kecil antara tenaga kerja berkemahiran amali dan intelek.
“Kita tidak memerlukan banyak universiti. Apa yang kita perlu ialah pendidikan tinggi berkualiti tinggi dalam sekolah teknikal profesional dan akademik.
“Jadi, saya tidak bersetuju dengan cadangan mengasingkan pendidikan universiti kepada akademik dan vokasional,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Kumpulan Bertindak Ibu Bapa bagi Pendidikan (PAGE), Datin Noor Azimah Abdul Rahim berkata, sistem pendidikan tidak sepatutnya menjadi hibrid 50:50 kerana ia akan membantutkan pembelajaran pelajar cemerlang dan melemahkan pelajar vokasional.
“Kami bagaimanapun percaya lebih banyak sekolah vokasional perlu dibuka dan piawaian sekolah akademik perlu ditingkatkan.
“Kami tidak mahu mereka tahu membuat semua kerja, tetapi tiada kepakaran khusus. Dalam dunia hari ini, anda perlu cemerlang dan fokus kepada sesuatu perkara untuk berjaya. Kurang permintaan untuk pekerja umum. Mereka yang mempunyai kepakaran akan berjaya,” katanya.
Azimah berkata, pelajar yang cenderung akademik atau vokasional perlu mempunyai laluan berasingan untuk mencapai impian mereka.
Semalam, Razak berkata, sebahagian daripada masalah dihadapi negara ialah sistem pendidikan yang terlalu mengikut aliran.
“Bukan semua orang akan menjadi saintis roket atau pakar bedah otak.
“Jadi, tidak perlu terlalu menekankan latihan akademik dan mengabaikan latihan vokasional sepenuhnya,” katanya.
Khamis lalu, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh dipetik Bernama sebagai berkata, seramai 54,103 lepasan universiti menganggur dalam tempoh 6 bulan selepas mereka menamatkan pengajian masing-masing pada tahun lepas.
Beliau berkata, bilangan itu berdasarkan Sistem Kajian Pengesanan Graduan (SKPG) yang merekodkan 238,187 pelajar menamatkan pengajian di institusi pengajian tinggi tahun lepas.

Subscribe to receive free email updates:

Related Posts :