Malaysiakini 23/8/17
Bekas perdana menteri Tun Mahathir Mohamad mendakwa dalam tragedi Memali, polis diserang terlebih dahulu.
Mahathir memetik ucapan pemangku perdana menteri, Musa Hitam sehari selepas tragedi itu yang mendakwa polis diserang hendap dan menyebabkan kematian seorang sarjan dan seorang inspektor, selain seorang konstabel cedera parah.
“Yang jelas ialah polis yang terbunuh dahulu, kerana pengikut Ibrahim berjihad kononnya,” tambahnya.
Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) itu mengalu-alukan suruhanjaya siasatan diraja (RCI) ke atas peristiwa yang mengorbankan 18 nyawa kira-kira 32 tahun lalu.
Menurut Mahathir yang merupakan perdana menteri ketika itu, beliau mempunyai bukti, laporan dan cerita berkaitan peristiwa itu yang membolehkan RCI membuat keputusan tanpa perlu bersidang.
“Ini termasuk individu-individu yang terlibat secara langsung atau tidak langsung,” katanya dalam satu tulisan di blognya.
Dalam tulisan yang sama, Mahathir yang merupakan perdana menteri ketika peristiwa berdarah itu menyiarkan semula amanat Datuk Seri Hadi Awang yang menurutnya berkait rapat dengan Memali.
“Amanat ini menggalakkan perjuangan lawan kerajaan sebagai jihad dan kematian pejuang adalah syahid,” katanya