Mempertahankan dirinya berhubung dakwaan Tun Mahathir Mohamad bahawa beliau cuba meminta simpati atau sokongan untuk menjatuhkan Najib Razak dalam pertemuan dengan bekas Perdana Menteri itu, Ahmad Zahid Hamidi berkata, rakaman pertemuan itu ada dalam simpanannya.
Sebaliknya, kata Timbalan Perdana Menteri, usaha mahu menjatuhkan Najib itu dirancang oleh Tun Mahathir dalam pertemuan antara mereka.
Usaha kedua yang dirancang oleh Tun Mahathir, jelas Zahid Hamidi lagi ialah dengan cara menghantar memorandum kepada Raja-Raja Melayu untuk menggesa agar Yang Dipertuan Agong memecat Najib sebagai Perdana Menteri.
"Jangan bohong, rakaman itu masih dalam simpanan saya," ujar Zahid Hamidi sambil menambah, pertemuannya dengan Tun Mahathir pada 2015 itu diadakan selepas 10 hari beliau dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri dan dilakukan dengan keizinan Najib.
Benarkah Zahid ada rakamannya?
Adakah rakaman itu dalam bentuk audio atau video?
Adakah rakaman dilakukan secara sembunyi atau disedari oleh Tun Mahathir?
Jika dirakam secara sedar, logikkah Zahid Hamidi yang datang ke rumah Tun Mahathir membawa alat rakaman bersamanya dan sudah tentu juga perlu meminta izin untuk meletakkan alat rakaman di atas meja?