Inilah juga alasan yang diberikan suri rumah Lynn, 39, yang berhijrah ke Perth pada 2012 dan sejak itu bermastautin di sana.
Pendidikan berkualiti di Malaysia terlalu mahal, katanya, dan mereka juga tidak akan ada masa untuk bersama keluarga.
“Dua hal itu sangat susah hendak dibuat di Kuala Lumpur kerana kos sara hidup yang tinggi. Perlu ada dua pendapatan. Jadual kerja juga sibuk. Suami saya akauntan, biasa bekerja sampai 8-9 malam dan selepas redah jalan raya sesak, sampai rumah sudah 9-10 malam,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Suami Lynnn memegang kad penduduk tetap Australia sebagai pendatang berkemahiran manakala beliau memiliki visa pasangan. Katanya mereka tentu tidak akan berhijrah sekiranya keadaan di Malaysia lebih baik untuk mereka membesarkan anak.
“Kami seronok di Malaysia, masa itu kami berdua, dua-dua ada kerja yang stabil, ada rumah dan kawan rapat.
“Keadaan sekarang jauh daripada sempurna kerana jauh daripada kawan dan keluarga, tidak ada kerja dan tidak bebas dari segi kewangan, jaga anak dan buat kerja rumah sehari suntuk dan tidak dapat menikmati hal yang biasa seperti pergi berjalan setahun sekali dan iyalah, rindu tanah air.
“Tetapi pada peringkat ini, kami gembira kerana buat keputusan berhijrah terutamanya apabila tengok anak kami seronok di sekolah dan dia tidak sabar hendak ke sekolah setiap hari,” katanya merujuk kepada anak lelakinya yang berumur empat tahun.
Isu anak satu hal, pencemaran udara dan politik satu hal lain pula
Walaupun penduduk tetap Australia bukan warganegara, mereka tinggal, bekerja, belajar dan mendidik anak tanpa sebarang sekatan, kata Pengurus Khidmat Klien dari Australia Migration Agents di Malaysia, Paula Rajaratnam.
“Anda masih pegang pasport Malaysia tetapi anda jadi PR Australia. Jarang mereka yang berhijrah dapat kerakyatan,” katanya.
Menurut statistik Jabatan Imigresen dan Perlindungan Sempadan Australia, 4,290 rakyat Malaysia didaftarkan di bawah kategori penduduk tetap pada 2014-2015, iaitu mereka yang baru tiba untuk menetap di Australia dan mendapat status PR.
Angka tersebut, seperti yang ditunjukkan pada laman web jabatan itu, bagaimanapun paling rendah sejak 2008 ketika mana jumlah rakyat Malaysia yang berhijrah ke Australia meningkat. Sejak itu, rakyat Malaysia yang diberikan status PR mendatar pada sekitar 5,000 orang setahun. Ia meningkat sedikit kepada 5,906 pada 2012-2013, menurun kepada 4,666 antara 2013 dan 2014.
Menurut Paula mereka yang berhijrah tidak perlu mendedahkan alasan tetapi kebanyakan mereka yang berurusan dengannya mengatakan mahu memulakan hidup baru di Australia.
“Pasangan dengan anak kecil berhijrah kerana pendidikan. Mereka fikir pendidikan di sana lebih baik, dan kebanyakannya berhijrah demi masa depan anak.
“Di Australia, apabila dapat PR, anda akan dapat sama ada pendidikan percuma atau yang diberi subsidi dan pendidikan di sekolah awamnya bagus, tidak perlu hantar anak ke sekolah swasta,” katanya, dan menambah ada juga orang yang menggunakan keadaan politik dan ekonomi sebagai alasan berhijrah.
Read More / Baca Lagi >>