18/8/17
Kemampuan sebenar dirinya sebagai pelakon diuji apabila Ezzaty Abdullah mengakui sangat tertekan untuk membawakan watak Alya dalam filem Kau Takdirku.
Katanya, keadaan itu menyebabkan dia hampir hilang kewarasan kerana gagal menghayati watak seperti dikehendaki pengarah, Jason Chong.
Apatah lagi cabaran itu dirasakan teramat besar memandangkan filem berkenaan merupakan penampilan sulungnya di layar perak.
“Saya tidak pernah diuji seteruk itu malah pada waktu sama tidak boleh fikir mana satu baik atau buruk hingga terdetik melakukan perkara membelakangkan agama,” kongsi Ezzaty.
Ezzaty, 27, ditemui pada majlis pratonton filem Kau Takdirku di Mutiara Damansara, Petaling Jaya, semalam.
Filem yang bakal ditayangkan pada 7 September depan turut dibarisi pelakon handalan, Bront Palarea dan Remy Ishak.
Kau Takdirku yang memaparkan kisah cinta tiga segi antara dua pemuda dan seorang gadis, menjalani penggambaran tiga tahun lalu.
Tidak kekok kongsi ilmu
Menurut Ezzaty, digandingkan dengan nama besar seperti Bront dan Remy turut menambah gemuruh kerana khuatir dirinya dilihat ‘kerdil’ berbanding pelakon berkenaan.
“Untuk menghilangkan perasaan itu, saya menghadiri kelas lakonan selama seminggu dengan ibu Fauziah Nawi supaya tidak menyusahkan orang lain,” katanya.
Selain berdepan cabaran di lokasi, Ezzaty mengakui turut menghadapi masalah dengan bekas tunangannya hingga hampir melakukan kesilapan terbesar dalam hidup.
“Bukan saja masalah di set, tetapi perlu menyelesaikan masalah dengan tunang menambah beban tekanan yang perlu saya pikul dan akhirnya kami berpisah jua.
“Alhamdulillah, berkat tidak tinggal solat dan berdoa, Allah bantu berikan kekuatan dan petunjuk untuk saya tempuhi dugaan terbesar dalam hidup saya,” katanya yang kini hamil enam bulan.
Malaysiakini