Update Kesefahaman Politik Menjelang PRU14 >> Berita Malay 18

Oleh : Onn Ismail

Setelah Pakatan Rakyat ditalkinkan, lanskap politik seakan bungkam. Ianya seolah-olah membenarkan kemenangan parti ketuanan Melayu menyusup masuk mengadu domba pemikiran pemimpin Parti Islam.

 Maka terbarailah ukhuwah yang terjalin sekian lama yang suatu ketika dulu cukup digeruni oleh kawan dan lawan.

 Kronologi perbalahan antara parti yang dicop sebagai cauvanist iaitu DAP dan Parti Islam itu mengisi ruang vakum kelemahan dan kenazakan UMNO khasnya. Di kala UMNO sedang lemas dengan isu-isu gadang, seakan ada pula tangan-tangan yang mungkin berfahaman nasionalis berhaluan agama menzahirkan bantuan hayat.

 Ini dapat disaksikan ketika berlangsungnya Muktamar PAS ke 62 seusai perceraiannya dengan Pakatan Rakyat yang mana pemimpin-pemimpinnya mengenakan tengkolok dan berkeris lagak pahlawan Melayu.

Mungkin itu merupakan terjemahan sinikal, bilamana bekas rakan-rakan lama dalam front Pakatan Rakyat kerap mengasak PAS dari pelbagai sudut dan melihat ianya sebagai satu kecurangan amanah yang diterjemahkan rakyat dalam PRU12 dan 13.

Dari sudut tarbiyah, sebenarnya PAS seakan berundur setapak ke belakang dalam usaha dakwah bagi mendekati pengundi-pengundi bukan Islam.

Ketika era Pakatan Rakyat, kita begitu terkesan dengan penyertaan rakyat berbilang kaum yang memegang dan mengibar panji Islam (bendera PAS). Bukan itu sahaja, pemimpin-pemimpin yang dianggap cauvanist juga mula mendekati Islam dan menyantuni tokoh-tokoh Islam seperti Allahyarham Tuan Guru Nik Aziz dalam mendepani isu-isu maslahat rakyat umumnya. Mereka juga berjinak-jinak meneladani prinsip-prinsip Islam yang mana sebelumnya tidak pernah terjadi. Petikan dari terjemahan ayat-ayat al-Quran juga digunakan dalam perbahasan bukan sahaja di Parlimen, bahkan di gelanggang-gelanggang rakyat! Peristiwa bersejarah ini tidak pernah berlaku di era-era sebelumnya baik di era APU atau Gagasan Sejahtera yang dianggotai oleh tokoh-tokoh hebat seperti Tengku Razaleigh Hamzah, Rais Yatim dan Allahyarham Utz Fadzil Noor.

 Ianya merupakan satu kerugian yang bukan kepalang dari sudut dakwah dan tarbiyah yang merupakan dasar PAS itu sendiri. Sedar atau tidak, era itu dilihat sebagai satu wadah pembentukan negara bangsa yang begitu tinggi nilainya. Berbeza dengan zaman sebelumnya, masyarakat bukan Islam melihat PAS sebagai satu momokan yang wajib dijauhi. Maka zaman gelap itu kembali lagi ketika ini. Kredit buat Najib dan UMNO.

PAS yang dilihat mesra UMNO dengan cetusan Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) serta melahirkan blok ke 3 sebenarnya bukanlah satu tindakan bijak. Ini adalah hasil daripada kecurangan politik ketika PRU12 lagi dan dapat dihidu oleh Allahyarham Tuan Guru Nik Aziz. Tokoh –tokoh yang terlibat secara langsung dalam kelahiran ideologi yang agak tidak matang ini merupakan bekas pemimpin-pemimpin kanan PAS sendiri seperti Nasarudin Md Isa dan Hassan Ali.

 Momokan berbaur nasionalis dan perkauman yang menolak sama sekali tahaluf siyasi dengan DAP atas dasar Ketuanan Islam mirip kepada ketuanan Melayu.

 Ketika dalam pakatan Rakyat lagi, PAS sebenarnya sudah menunjukkan kecurangan dengan menandingi kawasan-kawasan pilihanraya seperti Bukit Damansara dan Sungei Acheh yang menyebabkan kedua-dua kerusi itu bertukar tuan.

Sudah tentu ianya merugikan front Pakatan itu sendiri. Belum lagi dengan isu Unity Government yang digembar-gemburkan seusai PRU12. Disini PAS dilihat sebagai watak antagonis yang meruntuhkan satu kesepakatan yang dimetrai bersama.
Read More / Baca Lagi >>

Subscribe to receive free email updates: