Seorang pensyarah dari Universiti Malaysia Pahang (UMP) berjaya membangunkan satu inovasi iaitu alat bio maklum balas yang mampu mengetahui tahap tingkah laku, perasaan dan fisiologi manusia dengan mengukur denyutan nadi.
Dekan Pusat Bahasa dan Sains Kemanusiaan UMP, Prof Madya Dr Muhammad Nubli Abdul Wahab berkata, inovasi yang dihasilkan itu mengambil contoh daripada pendekatan di Amerika Syarikat, Rusia, United Kingdom, Belanda dan Republik Czech ketika hendak membangunkannya pada 2006.
Menurutnya, dia mengambil contoh dari negara-negara itu dan membuatnya mengikut acuan tempatan kerana tidak semua diamalkan di luar negara boleh dilaksanakan di Malaysia berikutan perbezaan budaya.
“Pendekatan yang saya ambil adalah dengan berzikir kerana menerusi kaedah itu ia mampu memberi kesan kepada hati. Sebenarnya hati adalah ‘raja’ untuk semua anggota badan, sekiranya hati baik maka ia turut beri kesan kepada tingkah laku.
“Ketika ujian dilakukan, pelanggan diminta berzikir untuk mengukur denyutan nadi, sekiranya penanda arasnya menunjukkan lebih kepada merah, maknanya berlaku ketidakstabilan pada diri seseorang, kalau hijau maka ia stabil,” katanya ketika ditemui ketika melakukan ujian kepada pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lepar di sini, semalam.
Jelasnya, alat bio maklum balas yang dihasilkan itu seperti satu set komputer dan ia dilengkapi dengan fon telinga serta mikrofon kecil terletak di satu sudut.
Dr Muhammad Nubli berkata, setakat ini lebih 55 sekolah termasuk di SMK Lepar di sini menjalani ujian terbabit menerusi inisiatif UMP untuk perkongsian kepakaran serta teknologi dengan masyarakat.
Katanya, ujian yang dilakukan juga berjaya membantu mengatasi masalah disiplin murid di sekolah terlibat.
Dalam pada itu, Dr Muhammad Nubli turut memaklumkan menerima respons positif daripada guru di sekolah yang terlibat selepas mereka menggunakan alatan bio maklum balas tersebut.
“Guru kaunseling di sekolah terbabit memberitahu ia dapat membantu meringankan tugas mereka termasuk mengetahui potensi seseorang pelajar itu, ia penting kerana murid kini adalah generasi yang bakal menjadi penentu masa depan.
“Kita juga sudah mula melakukan perkongsian dengan sebuah syarikat swasta bagi mengetahui potensi pekerjaan dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) bagi memulihkan penagih terutama di kalangan yang masih muda,” katanya.
Beliau juga menjemput lebih ramai pihak bekerjasama dengan menaja inovasi itu untuk kegunaan masyarakat terutama belia serta pelajar.
“Harga bagi mendapatkan set bio maklum balas ini RM6,000 meliputi set komputer, fon telinga, mikrofon kecil, perisian komputer, perkakasan dan latihan,” katanya.