Ia bukan suatu kebetulan apabila semua anak Dr Mahathir menjadi sasaran, kata anak sulung bekas perdana menteri, Marina Mahathir.
Pada hari yang sama syarikat Datuk Mokhzani Mahathir, Kencana Capital Sdn Bhd diserbu Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), 2 lagi syarikat yang ada kaitan dengan anak Tun Dr Mahathir Mohamad turut menjadi sasaran, menurut sumber yang rapat dengan keluarga bekas perdana menteri itu.
FMT difahamkan LHDN turut menyerbu Opcom Holdings Berhad dan Crescent Capital Sdn Bhd.
Opcom merupakan sebuah syarikat ditubuhkan pada November 1994 dan terlibat dalam pendawaian fiber optik. Ia dipengerusikan oleh Mokhzani yang juga ketua pegawai eksekutif (CEO), sementara Datuk Seri Mukhriz Mahathir adalah salah seorang pemegang sahamnya.
Seorang lagi anak lelaki Dr Mahathir, Mirzan Mahathir, disenaraikan sebagai CEO Crescent Capital, sebuah syarikat pelaburan dan perunding kewangan.
Ketika dihubungi, anak sulung Dr Mahathir, Datin Paduka Marina Mahathir mengesahkan semua serbuan itu berlaku 2 hari lalu.
“Saya tidak merasakan ia satu kebetulan. Ataupun mereka (LHDN) hanya menjalankan tugas,” katanya kepada FMT.
Serbuan itu berlaku ketika pemimpin Umno termasuk Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Nazri Aziz menggesa siasatan terhadap kekayaan keluarga bekas perdana menteri yang kini mempengerusikan gabungan 4 parti Pakatan Harapan (PH).
Bagaimanapun, Dr Mahathir tampak masih tenang dengan siri tindakan itu, malah menjemput seterunya Datuk Seri Najib Razak hadir pada forum “Nothing to Hide” Ahad ini.
Read More / Baca Lagi >>