Seperti allahyarham Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj, wartawan veteran Subky Latif melihat Tun Dr Mahathir juga mempunyai sikap sama.
Suatu ketika dulu perdana menteri pertama Malaysia itu "mempelupuh" pentadbiran penggantinya Tun Abdul Razak Hussein.
"Apabila diganti, Tun Hussein Onn dipelupuhnya juga.
"Ketika semua jongos kata Tun Dr Mahatahir Mohamad sebagai perdana menteri yang kelas, Tunku saja yang terus membalunnya. Orang tak boleh buat apa kepadanya," tulis Subky melalui kolumnya di Harakahdaily hari ini.
Beliau yang pernah berkhidmat bersama Utusan Melayu suatu ketika dulu berkata selepas berundur daripada jawatan sebagai perdana menteri Dr Mahathir berdiam diri agak lama juga.
"[...] Tidak dapat didiamkan cacing mencolok mata.
"Selepas sindir tak jalan, tegur tak jalan, dia bangkit dan tentang," katanya.
Dr Mahathir masih sedar, kata Subky, bahawa rekod kerajaannya juga tidaklah bersih daripada masalah.
Bagi rezeki pada 'sawa'
Bagaimanapun, katanya, "penyakit" yang ada dalam kerajaan Dr Mahathir dulu tidak menghalangnya untuk berpakat dengan pelbagai pihak untuk menjatuhkan perdana menteri sekarang.
Katanya, diyakini pada awalnya kerajaan dan Umno sendiri tidak mahu menyerang Dr Mahathir seperti apa yang mereka lakukan sekarang.
"Tapi kerana Dr Mahathir tak mahu diam, degil mengancam Najib dan Umno, maka baru mereka mula suruhanjayakan dia. Bisnes anaknya juga dikacau.
"Mengapa Dr Mahathir mereka kacau? Kerana Dr Mahathir kacau mereka!
"Tetapi Dr Mahathir sedia habis segala-galanya. Menangis adalah biasa baginya, tapi menangis itu tidak akan menghalangnya membangkitkan kelemahan Najib dan kerajaan.
"Tidak pelik jika dia sedia dipenjara. Itulah Mahathir," katanya.
Dr Mahathir adalah orang yang bertanggungjawab menonjolkan Najib sebagai perdana menteri bagi menggantikan Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Diktator berkuasa sampai mati
Walaupun begitu, Dr Mahathir menjadi antara pengkritik lantang terhadap kerajaan Najib, terutama selepas isu 1MDB didedah dan dikaitkan dengan perdana menteri.
Dr Mahathir kemudian meninggalkan Umno - parti yang pernah dipimpinnya selama lebih 20 tahun - dan menubuhkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).
Kerajaan baru-baru ini pula bersetuju menubuhkan suruhanjaya siasatan diraja (RCI) untuk menyiasat skandal kewangan yang merugikan negara semasa Dr Mahathir menjadi perdana menteri.