Kuala Lumpur - Ekonomi digital merupakan trend yang semakin berkembang dalam landskap perniagaan global, dengan jumlah organisasi, perniagaan dan pelabur yang melaksanakannya semakin meningkat.
Ekonomi digital merujuk kepada suatu yang berdasarkan kepada teknologi pengkomputeran digital dan dijangka menjadi cara perniagaan dijalankan pada masa depan. Kaedah yang digunakan terbukti menjadi lebih berkesan dari segi kos dan masa, berbanding cara tradisional.
Dalam usaha ke arah mencapai status negara maju menjelang 2020, Malaysia melaksanakan banyak strategi, termasuk peralihan kepada ekonomi digital, untuk terus kompetitif dan relevan kepada persekitaran perniagaan yang moden.
Ketua Pengurusan Pelanggan Global bagi Asia Pasifik BNY Mellon, Gregory T. Roath berkata Malaysia berada di landasan yang betul, dari segi kesedaran dan minat terhadap ekonomi digital, atau juga dikenali sebagai ekonomi Internet.
“Berbincang dengan pelanggan kami (di Malaysia), seperti dana persaraan, mereka bersedia (untuk memulakan ekonomi digital) dan berbincang dengan kami (mengenainya) untuk mendapat pemahaman mengenai apa yang BNY Mellon lakukan (berhubung pembangunan ekonomi digital) dan bagaimana ia akan memberi manfaat kepada mereka.
“Malah, sebahagian daripada pelanggan kami di rantau ini telah mengunjungi pusat inovasi kami, termasuk di Lembah Silicon.
“Tahap kesedaran dalam kalangan ahli perniagaan Malaysia berkaitan ekonomi digital amat tinggi pada masa ini, setanding dengan organisasi utama lain di rantau ini, berhubung pemahaman mereka mengenai teknologi dan minat untuk menggunakan teknologi terkini," katanya kepada Bernama.
Ditubuhkan pada 1784, BNY Mellon merupakan bank tertua di Amerika Syarikat. Ia kini menjadi syarikat pelaburan global, dan menumpukan kepada dua bidang, iaitu perkhidmatan pelaburan, yang secara amnya membabitkan pengurusan aset, dan, pengurusan pelaburan, ke arah pengendalian aset tersebut.
Roath berkata BNY Mellon mempunyai kaedah untuk memacu inovasi yang mengubah cara orang bekerja dan berfikir.
“Di peringkat global, kami telah menubuhkan sembilan pusat inovasi. Setiap pusat menumpukan kepada pelbagai aspek trend teknologi moden.
“Kami menggunakan pusat inovasi, bukan sahaja untuk tujuan dalaman dari segi mengubah sikap kita sendiri, tetapi turut melibatkan pelanggan kami. Kami mempunyai pelanggan yang datang dan melawat (pusat tersebut) dan bekerjasama, mengusahakan projek tertentu bersama,” katanya.
Dalam melaksanakan ekonomi digital, katanya antara cabarannya ialah memahami, menyesuaikan dan mengenali perubahan, selain mengkaji impak kepada pelanggan dan BNY Mellon sendiri.
“Kadar teknologi kini mungkin lebih cepat berbanding sebelumnya. Bagi yang telah menjadi bank legasi, apa yang kita bincangkan pada hari ini berbeza daripada apa yang dibincangkan sebelum ini. Kita semua mendapat pemahaman baharu dan menjadi lebih celik teknologi,” katanya.