Update [MARAN] TOKOH NILAM MARAN SASAR TIGA TERATAS >> Berita Malay 18


Tokoh Nilam Maran sasar tiga teratas


Empat Tokoh Nilam bakal mewakili daerah Maran pada tahun ini dalam Bengkel Pemilihan Tokoh Nilam Peringkat Negeri Pahang yang akan dilangsungkan di Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri Pahang tidak lama lagi.

Ketua Pusat Kegiatan Guru Bandar Pusat, Mohd Asral Ibrahim berkata, mereka adalah Nur Nasreen Syuhada Azlan dari SK Jengka 9 bagi kategori Bahasa Inggeris Sekolah Rendah, Muhammad Nazrul Iman Asli dari SK Bandar Pusat bagi kategori Bahasa Melayu Sekolah Rendah, Julia Syazwani Mohd Rozaidi dari SMK Jengka Pusat bagi kategori Bahasa Inggeris Sekolah Menengah dan Aina Irdina Abdul Latif juga dari SMK Jengka Pusat bagi kategori Bahasa Melayu Sekolah Menengah.

Menurutnya, beliau berharap tokoh-tokoh nilam daerah ini akan berjaya mencapai tiga tempat teratas setiap kategori. Mereka akan mewakili semua sekolah di peringkat daerah Maran.

"Kemenangan ini nanti akan membawa dan mengharumkan nama Daerah Maran di persada Pendidikan Negara," katanya ketika ditemui pada Majlis Penutupan Program Jelajah Tokoh Nilam daerah Maran di Surau Asrama, SMK Felda Jengka 16.

Hadir sama, Penyelia Unit Pendidikan Islam PPD Maran, Muhamad Adip Abdullah; Ketua PKG Bandar Maran, Mohd Rafie Ismail; Pengetua SMK Jengka 16, Hayudin Md Suhor dan Pembantu Perpustakaan Kanan Perpustakaan Awam Jengka, Ahmad Azmi Ahmad.

Jelajah itu memasuki tahun ketiga, di mana pada tahun ini empat lokasi dijelajah. Antaranya Perpustakaan Al Bukhari UiTM Pahang (17 Ogos), SMK Jengka Pusat 2 (18 Ogos), Giat Mara Jengka (22 Ogos) dan Majlis Penutupan di SMK Jengka 16 (23 Ogos).

Program anjuran PKG dan PERPUSPA Daerah Maran ini mendapat kerjasama Majlis Guru Besar Daerah Maran dan disertai empat orang tokoh Nilam daerah Maran serta guru pengiring dan Pegawai Teknologi Pendidikan PKG Daerah Maran.

Sementara itu, Pegawai PPD Maran, Husry Kamaruddin berkata, membaca bukan sahaja boleh diamalkan di sekolah malahan di mana-mana jua.

"Bukan boleh dipaksa tapi perlu lahir dari hati yang mempunyai minat. Justeru, program jelajah ini diadakan sebagai pendedahan ilmu pengetahuan, berketerampilan dan berwibawa kepada tokoh yang akan mewakili daerah ini.

"Hanya dengan rajin membaca, akan menjadikan seseorang itu berjaya dan dihormati kerana mempunyai ilmu pengetahuan yang tinggi," katanya.

Turut diadakan sesi resensi buku, jejak maklumat dan persembahan pelajar.

Dalam pada itu katanya, PKG Bandar Maran dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah Maran akan menganjurkan Lawatan Penanda Aras ke Johor Bahru pada Oktober depan.

Menurutnya, ia akan melibatkan Guru Perpustakaan & Media (GPM), Guru Penyelaras Bestari (GPB/GPICT) dan Juruteknik Sekolah Kelompok Luit.

"Antara sekolah yang akan dilawati adalah Sekolah Tun Fatimah dan SK Taman Bukit Mewah," katanya.


Subscribe to receive free email updates: