Update ‘Mengapa bayar hasil minyak Terengganu kepada Pahang?’ >> Berita Malay 18

Dalam surat kepada presiden Petronas, 3 wakil rakyat berasal dari Terengganu mahukan penjelasan mengenai bayaran royalti yang dihentikan.
Datuk-Wan-Zulkiflee-Wan-Ariffin
 Tiga wakil rakyat berasal dari Terengganu hari ini menggesa Presiden Petronas Datuk Wan Zulkiflee Wan Ariffin menjelaskan keputusan syarikat minyak negara itu tidak membayar royalti kepada Terengganu.
Ahli Parlimen Kuala Terengganu Datuk Raja Kamarul Bahrin, Adun Batu Burok, Syed Azman Syed Ahmad dan Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli turut mempersoalkan pembayaran hasil telaga minyak dalam perairan Terengganu kepada Pahang.
Mereka merujuk Akta Kemajuan Petrolium 1974 di mana perdana menteri ketika itu, Tun Abdul Razak, bersetuju membayar 5% daripada nilai petroleum dalam kawasan perairan negeri.
Setahun selepas PAS mengambil alih pentadbiran negeri pada pilihan raya 1999, Putrajaya memansuhkan bayaran royalti, sebaliknya membayar “wang ehsan” yang disalurkan terus.
Bagaimanapun, 2 tahun lalu, Petronas mengumumkan tidak lagi akan membayar Terengganu, selepas mendakwa negeri itu tidak berhak menuntut hasil wang royalti untuk telaga minyak di luar 3 batu nautika dari persisiran pantai negeri.
Bagaimanapun, Raja Kamarul, Syed Azman dan Rafizi merujuk kenyataan syarikat perunding Lundin Petroleum yang mengesahkan telaga minyak Bertam PM 207 berada di bawah perairan Terengganu.
“Di atas penentuan asal tersebut, kenapakah hasil kewangan dari penemuan tersebut diserahkan kepada negeri Pahang?” soal mereka, sambil menuntut didedahkan jumlah hasil diberikan setakat ini kepada Pahang sejak telaga minyak itu beroperasi.
“Apakah negeri Terengganu ‘tidak berdaulat’ sehinggakan segala hak royalti dan telaga minyak sudah tidak lagi mernjadi milik negeri Terengganu?” soalnya.
Menurut mereka, rakyat Terengganu perlu diberikan penjelasan mengenainya lebih-lebih lagi ketika harga minyak jatuh dan simpanan yang semakin berkurangan.
“Kebanyakan rakyat Terengganu juga juga terpaksa berhadapan dengan kekangan kehidupan yang amat perit sedangkan negeri Terengganu merupakan negeri pengeluar minyak dan pernah dikenali sebagai ‘Kuwait Malaysia’,” menurut surat kepada presiden Petronas itu.

Subscribe to receive free email updates:

Related Posts :