- Pemimpin orang; bagai gunting makan dihujung (249).
- Pemimpin kita, bagai unta menyerah diri (250).
"Pemimpin orang, bagai gunting makan dihujung sedangkan pemimpin kita; bagai unta menyerah diri."
Aah, tak mahulah pula saya disindir, bagai merak mengigau di tengah hutan!
Lagipun, takkan tumbuh padi jika yang ditanam itu lalang.
Hah! Inilah yang barangkali apa yang sering disebut ahli sebagai bahasa berkias. Tersentuhkah khalayak 2017 atau masih main pakai kira rempuh tak menentu; di mana tempat hujung jatuhnya?
Jangan tak jangan, orang zaman sekarang, rata-rata, main pakai redah tak tahu di mana kayu palang dan daun pintu. Langgar sesiapa sahaja yang lawan ikon misteri pujaan mereka asal saja "orang itu" mampu menyenduk nasi ke pinggan masing-masing.
Itu tak tahu, ini tak tahu. Habis, nak jadi pengikut yang cerdik atau pemimpin yang baik lagu mana?
Dalam kamus bidalan Melayu, tersimpan terlalu banyak kias dan bidalan yang berkebijakan. Menyaksikan pebagai versi kata-ķata bijak orang Melayu tinggalan nenek moyang terdahulu, kita sesungguhnya mempuyai cukup potongan - atau cutting - untuk mampu menjadi sebuah bangsa besar - jika bersedia.
Kena buat sebab kita cukup syarat untuk muncul menjadi rajawali yang hebat dan bukan lalat yang tampil hina merempat lalu hinggap tak ke mana.
Falsafah pantun Melayu
Mari semak pula gesaan pantun Melayu:
Tanam kelapa di Pulau Bukum,
Tinggi sedepa sudah berbuah;
Adat bermula dengan hukum,
Hukum bersandar kitab Allah.
(Pantun Melayu Sastera Rakyat, hal 6)
Jika penghulu berkemenakan,
Itu menganjung meninggikannya;
Cerdik nan jangan dilagakkan,
Mungkin bingung kesudahannya.
(Langgam Sastera Lama, hal 170)
Pertama telok kedua pantai,
Ketiga dengan jamban dahulu;
Pertama elok kedua pandai,
Ketiga baik bangsa penghulu.
(Pantun Melayu, hal 11)
Baik-baik mengail tenggiri,
Jangan kena jambatan larangan,
Baik-baik menghina diri;
Jangan muka disapu arang.
(Hikayat Awang Sulung Merah Muda, hal 54)
Adalah diperhatikan, sepanjang merdeka hingga ke mari, fahaman dan ideologi feudalisme warga Melayu terhadap pemimpin Melayunya masih tak berubah. Watak sang setianya masih berputar-putar pada lilitan destar 'Tun Tuah'. Masih sama!
Read More / Baca Lagi >>