Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP, Tony Pua berkata, tindakan Najib itu amat lucu kerana membuat perbandingan skandal melibatkan parti pembangkang, sedangkan beliau sendiri juga terpalit dengan beberapa skandal.
“Memetik tulisan di dalam blog beliau mengatakan, yang lucunya baru-baru ini sudah mula terbongkar di negeri-negeri mereka tentang skandal banglo, harga terowong, pintu gerbang dan lebuh raya yang dibina berlipat ganda lebih tinggi daripada sepatutnya. Ke mana hilangnya wang ini? Apakah skandal kewangan mereka ini tujuan untuk membina MRT dengan lebih murah?
“Ini amat jelas, Najib seorang pemimpin paling ‘shameless’ seluruh dunia. Beliau berani membandingkan fitnah terhadap kes pembelian banglo Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dengan skandal peribadi dan keluarga beliau yang berkaitan 1MDB dan SRC International,” ujarnya dalam kenyataan, semalam.
Katanya, Najib tidak sepatutnya membandingkan skandal rumah Guan Eng dengan skandal peribadinya kerana skandal rumah itu tercetus hasil tohmahan pemimpin BN, selain Guan Eng sudah beberapa kali menafikan dakwaan itu.