Update Natang apa 1MDB tu? Rakyat luar bandar lebih pentingkan isu kos barang >> Berita Malay 18

Tinjauan rambang mendapati ramai penduduk luar bandar di Selangor menganggap 1MDB hanyalah isu politik melibatkan 'orang atasan'.
Ramlah Zainal (kanan) lebih berminat bercakap tentang isu harga barang daripada 1MDB.
Ramlah Zainal (kanan) lebih berminat bercakap tentang isu harga barang daripada 1MDB.
Dalam usaha meraih sokongan pengundi dalam pilihan raya umum ke-14 (PRU14), pembangkang memulakan jelajah 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dengan siri ceramah berkaitan skandal firma tersebut.
Bagaimanapun, tinjauan FMT di kawasan luar bandar di Selangor mendapati pengundi tidak berminat mengenai skandal tersebut, terutamanya yang tinggal di luar bandar, sebaliknya lebih mengutamakan isu “periuk nasi”.
Rata-rata penduduk yang ditemubual lebih berminat dengan isu kos sara hidup berbanding 1MDB yang mereka anggap sebagai masalah ‘orang atasan’.
Nurul Amalina, pengusaha gerai dari Bukit Rotan berkata, jika pembangkang datang ke kawasannya, beliau mungkin akan menyertainya jika tidak ada rancangan lain.
Beliau juga berkata akan menyokong parti yang membawa isu kos hidup berbanding isu lain termasuk 1MDB.
“Saya tidak minat isu 1MDB, tak berapa faham. Itu isu orang atasan, lagi pun kami tidak tahu betul atau tidak isu tersebut,” katanya.
Mereka yang tahu isu 1MDB bagaimanapun berkata mereka tiada kaitan dengan skandal tersebut.
“Tidak berminat,” kata Ramlah Zainal ketika ditanya adakah beliau berminat mendengar isu 1MDB daripada pembangkang.
“Isu yang penting adalah berkenaan kemudahan kita seperti menurunkan harga barangan,” kata wanita berusia 68 tahun itu dari Felda Bukit Cerakah.
Muhammad Nazri, 32, berkata beliau lebih mementingkan isu sara hidup dan beranggapan 1MDB adalah isu politik yang tiada kaitan dengan rakyat.
Nordin Ariffin, 53, pekerja binaan, jelas seorang penyokong Barisan Nasional (BN).
Beliau tidak ambil kisah isu 1MDB, asalkan kerajaan memberi bantuan tunai di bawah Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) untuk membantu sara hidup mereka.
“Mereka (pembangkang) berbohong,” jawabnya apabila dikatakan 1MDB menjadi punca kutipan GST sambil menambah mereka sebagai orang kampung tidak pernah merungut untuk membayar cukai tersebut.
Noraini Mahmud, 58, pula berkata 1MDB adalah perkara merepek berkaitan politik dan enggan mendengar ceramah daripada pembangkang.
Manakala surirumah, Waheedha, 42 mendakwa 1MDB adalah mainan pembangkang.
“Pembangkang kata ekonomi kita teruk. Memang ekonomi kita ada masalah sikit sekarang tapi sebab harga minyak naik, tapi ia lebih baik daripada negara lain.”
Menurutnya, jika benar Najib bersalah berkaitan 1MDB, mengapa beliau belum ditangkap dan jika ekonomi negara merosot, mengapa kerajaan masih mampu menyalurkan BR1M.
Lebih menarik, seorang nelayan berusia 70 tahun dari Sekinchan yang mahu dikenali sebagai Chua pula tidak tahu apa itu “1MDB” berbanding BR1M.
Ditanya adakah beliau menghadiri ceramah pembangkang berkenaan isu itu, beliau menjawab: “Saya pergi tapi tidak faham apa yang mereka cakap. Saya pergi untuk beri sokongan sahaja.”
Sokong kedua parti politik
Mohamad Abdul Rahim, 60, percaya perlu ada keseimbangan antara isu “periuk nasi” dan 1MDB.
“Selain 1MDB, pembangkang kena mainkan juga isu ‘periuk nasi’. Dua-dua penting dan rakyat kena ambil tahu,” katanya sambil menambah sebagai negara demokrasi, rakyat kena dengar penjelasan daripada kedua belah parti.
Sementara itu, Raymond, seorang penjaga kedai di Sekinchan, berkata: “Antara keduanya, saya lebih tertarik untuk mendengar bagaimana parti politik merancang untuk menyelesaikan kenaikan kos sara hidup.
“Tetapi saya juga ingin tahu tentang 1MDB, jika ia benar-benar penyebab kenaikan kos sara hidup.”
Kebimbangan Najib?
Berdasarkan tinjuan tersebut, penganalisis politik, Dr Ahmad Atory Hussain setuju ia adalah sentimen umum dalam kalangan pengundi luar bandar dan separa luar bandar itu.
Beliau berkata walaupun kempen pilihan raya pembangkang masih tertumpu kepada 1MDB, mereka juga memfokuskan cara menangani isu “periuk nasi” dengan “mempermudahkan skandal” dan “menghubungkannya dengan 1MDB”.
Ini terbukti semasa ceramah berkaitan 1MDB di Sungai Acheh, Pulau Pinang yang menyaksikan pemimpin pembangkang membentangkan skandal itu secara terperinci.
Seramai 1,000 orang hadir dalam ceramah tersebut, yang diberi jolokan “KUrsus Tony Pua Mengenai 1MDB” oleh Ketua PKR Pulau Pinang, Datuk Mansor Othman.
Read More / Baca Lagi >>

Subscribe to receive free email updates: