Pertubuhan Generasi Warisan Kebangsaan berkata trend sebelum ini menunjukkan kes seperti itu dilupakan selepas pilihan raya.
Badan bukan kerajaan (NGO) yang memperjuangkan isu warga Felda menggesa kerajaan tidak menjadikan penahanan bekas pengerusi Felda Tan Sri Isa Samad sebagai wayang politik untuk mengaburi mata rakyat menjelang pilihan raya.
Apatah lagi tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan dan menyiasat Isa, yang ditahan untuk siasatan kes pembelian 2 buah hotel oleh Felda Investment Corporation (FIC), merupakan berita gembira buat warga Felda, kata Presiden Pertubuhan Generasi Warisan Kebangsaan (Generasi) Roslan Md Isa.
Berdasarkan maklumat siasatan awal SPRM, FIC dipercayai membeli sebuah hotel 4 bintang di London pada harga £60 juta (RM330 juta) pada 16 Disember 2014, dan sebuah lagi hotel di Kuching, pada harga lebih tinggi daripada harga asal sehingga mengakibatkan FIC mengalami kerugian jutaan ringgit.
“Kita tidak mahu ada tangan-tangan ghaib yang mengawal daripada belakang. Sebab trendnya memang sebelum ini dekat pilihan raya memang ada tangkapan dibuat tetapi selepas pilihan raya kes itu dilupakan sahaja,” katanya kepada FMT.
Sementara itu, NGO kesedaran anti-rasuah, Pusat Membanteras Rasuah dan Kronisme (C4) menyifatkan penahanan Isa sebagai luar biasa.
Pengarah Eksekutif C4 Cynthia Gabriel berharap siasatan ke atas Isa akan membawa kepada penahanan individu lain yang berkait rapat dengan pembelian itu.
“Kami mengesyorkan penubuhan sebuah tribunal khas yang terdiri daripada individu bebas untuk membedah isu berbangkit dan menyeru keseluruhan sistem tadbir urus Felda dirombak,” katanya kepada FMT.
Isa ditahan ketika hadir di ibu pejabat SPRM Putrajaya pada jam 2.40 petang untuk memberi keterangan lanjut berhubung pembelian 2 hotel oleh FIC antara tahun 2014 dan 2015 itu.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata penahanan itu merupakan tindakan susulan hasil daripada keterangan yang dirakam oleh pasukan penyiasat berhubung pembelian hotel tersebut sebelum ini.
Ditubuhkan pada 2013, FIC adalah cabang pelaburan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) dengan tumpuan kepada sektor hartanah, keraian dan minyak dan gas.
FIC dilaporkan membeli sebuah hotel 4 bintang di Kensington, London pada £60 juta (RM330 juta) pada 16 Disember 2014.
Read More / Baca Lagi >>