Update Nothing to Hide 2.0: Ketika kasut, kerusi terbang melayang >> Berita Malay 18

Saya tiba awal di pekarangan Dewan Raja Muda Musa, tempat saya menduduki peperiksaan ketika menjadi mahasiswa Universiti Teknologi MARA hampir 10 tahun lalu. Azan Zuhur baru berkumandang, dan saya bersalaman dengan penganjur yang baru beberapa hari lalu saya wawancara.
Syed Saddiq memberitahu saya, mereka menjangkakan satu episod drama terbitan pihak-pihak yang dikenali bagi mengganggu acara petang Ahad itu. Umno sesama bekas Umno barangkali masih ada pertalian yang tidak boleh dipisahkan. Saling berkongsi maklumat. Jadi saya lebih berjaga-jaga.
Dewan disusun ala townhall TN50, dengan pentas di tengah-tengah untuk memberi ruang dua panelis berpencak dalam acara diberi nama Nothing to Hide 2.0 itu.
Beberapa ruang dipecah-pecah, dengan satu ruang khas untuk delegasi tetamu undangan paling istimewa - Datuk Seri Najib Razak.
Di satu bahagian lagi, ruang khas untuk pengamal media, manakala beberapa baris kerusi kelabu disusun di belakang pentas untuk pimpinan Pakatan Harapan (HARAPAN).
Beberapa ketika kemudian, kelibat Syed Saddiq sekali lagi datang menghampiri saya. Katanya di luar sana ada gerombolan pemuda dengan pakaian pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (ARMADA) yang tidak diketahui asal-usulnya.
Saya lantas meluru ke pintu dan cuba menanggapi keadaan. Orang awam mula berpusu-pusu masuk ke dewan. Jawatankuasa keselamatan pula cuba menyusun gerombolan berpakaian ARMADA ini di luar supaya mereka diasing-asingkan dan tidak duduk di kerusi orang awam.
Sebahagiannya berjaya dipindahkan ke bahagian atas di kiri dan kanan dewan, manakala selebihnya mundur ke penjuru belakang, atau keluar mengambil udara.
Seperti mat-mat skema
Tun Dr Mahathir tiba sekitar jam 3.30 petang. Diikuti Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, beberapa ketika kemudian. Mereka diiring terus ke bilik menunggu VIP dan pakat-pakat bergambar.
Beberapa minit kemudian, dewan pun penuh dan acara pun bermula. Tetamu dan orang kenamaan diarak masuk, dan Dr Mahathir mengambil tempat di pentas utama bersama moderator sesi tersebut, peguam Azhar Harun. Majlis dimulakan dengan nyanyian lagu ‘Negaraku’ diiukuti bacaan doa.
Memang acara ini terasa seperti acara anjuran United Malays National Organisation. Kecuali beberapa lagu punk, muzik latar sebelum acara bermula adalah lagu-lagu patriotik moden berulang-ulang. Serta adunan semula lagu Standing In The Eyes Of The World yang menjadi lagu tema ketika berlangsungnya Sukan Komanwel 1998 - sebelum Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat dan meletusnya gerakan Reformasi.

Panitia penganjur ramai mengenakan pakaian berwarna merah dengan logo Wawasan 2020 dan bendera Malaysia tersemat di dada. Ada antara mereka yang memakai baju T itu dimasukkan ke seluar jeans, seperti kebiasaan mat-mat skema yang dahulunya penuh merenyut dalam pemuda Umno. Bahkan sebenarnya mereka dahulu pun memang Umno. Kalau pun tidak mengisi borang parti, mereka pastinya beriman kepada prinsip parti itu, dan mengangkat Dr Mahathir sebagai pemimpin ulung.
Syed Saddiq sendiri kerap mengulang sebut "Ayahanda Tun Mahathir’" sebagai tanda hormat dan takzimnya kepada susuk mengepalai negara selama 22 tahun itu.
Ketika Dr Mahathir tiba dan ketika memasuki dewan, laungan "Hidup Tun!" bergema berulang kali. Dan ketika soalan-soalan yang ditujukan kepadanya dikuntau dengan begitu cantik, pendukung Dr Mahathir juga bersorak dengan laungan yang sama: Hidup Tun!
Bukan orang kita
Sepanjang pusingan pertama ucapan Dr Mahathir, saya memerhatikan kumpulan anak muda di penjuru belakang yang langsung tidak memberi sebarang reaksi. Bersorak tidak, tepuk tangan pun tidak.
Sekonyong-konyong datanglah si Syed Saddiq sekali lagi dari tepi dan menghampiri.
“Semua yang baju merah di belakang tu bukan orang kita,” katanya sambil menggeleng resah. Saya sengih sedikit kerana dia sebut "orang kita".
Barulah dia tahu apa perasaannya dijadikan sasaran parti pemerintah. Baguslah si Saddiq ini sudah boleh bekerja dengan semangat kekitaan.
Seketika kemudian, saya bergerak ke belakang segmen pimpinan HARAPAN dan bertemu beberapa orang kenalan. Masing-masing bertanya tentang drama yang bakal terjadi kerana bukannya kita tidak biasa dengan serangan samseng Umno.

Sebelum pilihan raya umum ke-13 lalu, tidak sedikit serangan samseng yang kita hadapi. Saya masih ingat bagaimana cermin belakang kereta saya dipecahkan orang tidak dikenali ketika siri Jelajah Merdeka Rakyat mengadakan ceramah besar-besaran di Seremban. Sederet kereta dari luar Seremban habis diketuk cermin belakangnya.
Bas Jelajah Merdeka Rakyat itu pun sudah berkali-kali diserang dengan cat dan batu. Parut-parutnya ditinggalkan agar menjadi tatapan orang ramai mendatang.
Yang paling saya ingat ialah serangan di sebuah ceramah di Lembah Pantai. Kebetulan barangkali, ceramah Umno dan PKR dianjur sebelah-menyebelah.
Pastilah ceramah yang ada Anwar Ibrahim lebih ramai. Entah 'monyet' mana mula melontar bata ke arah penonton sebelah kami.
Saya masih ingat Anwar melontarkan maki: “Celaka Umno ini.” Ummi Hafilda yang sedang menjerit di sebelah sana langsung berhenti.
Begitulah, pengalaman mengajar kita untuk menanti serangan daripada gerombolan yang memang diajar untuk membalas hujah dengan tangan dan kaki, apabila lidah sudah tidak boleh bersambung dengan akal.
Sudah mula resah
Perkara sama terjadi Ahad lalu. Apabila sesi melontarkan soalan bermula, dan Dr Mahathir menepis setiap satunya.
Saya berpeluang mewawancara beliau tahun lalu. Pastinya sampai mati saya akan ingat peristiwa itu. Hari saya - yang sejak 1998 membenci Dr Mahathir - akhirnya berdepan dengan dia dan bertanyakan beberapa soalan.
Lebih 10 soalan saya rasanya dikuntau Dr Mahathir dalam masa lebih kurang 45 minit. Satu pun tidak dijawabnya dengan tepat.
Dr Mahathir malah menggunakan peluang wawancara itu untuk melancarkan serangan bertubi-tubi menggunakan Rocket DAP ke arah pihak lawannya, Datuk Seri Najib Razak.
Taktik yang sama digunakan Ahad lalu. Acara Nothing to Hide 2.0 itu digunakan sepenuhnya oleh mantan perdana menteri itu untuk membingkai suami Datin Seri Rosmah Mansor itu sebagai pencuri, penyangak dan penyamun wang negara.
Read More / Baca Lagi >>

Subscribe to receive free email updates:

Related Posts :