Bagaimana kerugian itu tidak dicatatkan dalam laporan BNM, soal pengerusi panel RCI.
Tan Sri Mohd Sidek Hassan berkata pihaknya mendapati sememangnya wujud kehilangan jumlah wang yang besar.
“Namun ia dihilangkan dalam laporan BNM. Kita harus kenal pasti siapa yang meminta agar ia disembunyikan. Sedikit pelik, apabila semua pihak tidak tahu mengenai perkara ini.
“Bahkan, tidak ada sesiapa ambil sebarang tindakan atau membuka sebarang siasatan. Adakah mereka tutup mata dalam hal ini,” katanya dalam kamar mahkamah di Istana Kehakiman hari ini.
Suruhanjaya berkenaan ditubuhkan pada bulan lalu bagi menyiasat kerugian bank pusat sebanyak AS$10 bilion dalam urus niaga perdagangan mata wang sekitar 1990-an.
Selain Sidek, RCI itu turut dianggotai Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Kamaludin Md. Said, Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia Berhad Datuk Seri Tajuddin Atan dan Pengerusi Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan Tan Sri Saw Choo Boon.
Turut terlibat Ahli Institut Akauntan Malaysia, K. Pushpanathan dan Setiausaha Bahagian Pelaburan Strategik Kementerian Kewangan, Datuk Yusof Ismail yang juga setiausaha suruhanjaya siasatan itu.
Sementara itu, Tajuddin selepas mendengar keterangan bekas penolong gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Datuk Abdul Murad Khalid, pegawai BNM Abdul Aziz Abdul Manaf dan Datuk Ahmad Hizzad Baharuddin, menyatakan mahu mengetahui perkara ini lebih mendalam.
“Berdasarkan keterangan saksi, banyak yang tidak mengetahui perkara ini secara mendalam. Bahkan, isu ini disimpan terlalu lama,” katanya.
Read More / Baca Lagi >>