Bukan sahaja pimpinan sedia ada, veteran Pas turut memusuhi DAP selain menganggap penglibatan Tun Mahathir dalam politik tanah air menimbulkan kekeliruan dalam parti pembangkang.
Bekas Pengerusi Lembaga Disiplin Pas Pusat, Datuk Wan Abdul Mutalib Embong mengaitkan DAP yang dianggapnya menguasai pembangkang bersifat cauvinis iaitu berkaitan kepercayaan yang berlebihan.
"Kita pada hari ini ada pembangkang dan terkuat sekarang ini DAP. Tetapi DAP ini menggambarkan cauvinisme dia lebih daripada kepentingan rakyat secara keseluruhannya," ujarnya dipetik daripada temubual di akhbar rasmi Pas, Harakah baru-baru ini.
Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam Kongres Rakyat di Shah Alam, Selangor pada 12 September 2015 turut menegaskan pendirian parti itu menolak sikap cauvinis yang diamalkan oleh pihak tertentu.
"Islam telah mensyaratkan kemampuannya untuk menyelesaikan masalah masyarakat majmuk bukan kerana fanatik, bukan kerana oportunis.
"Tetapi kerana tiada tempat bagi ajaran Islam dalam kalangan yang fanatik, kalangan yang berfahaman cauvinis dan kalangan yang oportunis," ujar Abdul Hadi tanpa menyebut DAP secara langsung.
Selanjutnya, Abdul Mutalib berpendapat wujud banyak pihak yang sekarang mahu menunjukkan kelebihan masing-masing.
Bekas exco sepenggal kerajaan Pas Terenganu (1999-2004) tersebut berkata, Mahathir khususnya telah diberi kepercayaan memerintah selama 22 tahun bagaimanapun seolah-olah tidak percaya kepada Perdana Menteri pada masa ini.
Read More / Baca Lagi >>