Penganalisis Wan Saiful Wan Jan dan Mohamad Hisomuddin Bakar bagaimanapun ragu-ragu adakah rungutan rakyat cukup untuk menukar kerajaan.
Badan pemikir tidak setuju dengan Tengku Razaleigh Hamzah yang mendakwa isu kos sara hidup yang sering dimainkan pembangkang tidak akan menjejaskan undi untuk Barisan Nasional.
Ketua Pegawai Eksekutif Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas) Wan Saiful Wan Jan berkata pemimpin veteran Umno itu tersilap jika menganggap warga kota dan kampung akan terus setia kepada BN.
“Haikatnya orang di bandar dan kampung bergelut dengan kos sara hidup,” katanya.
Pengarah Eksekutif Ilham Centre Mohamad Hisomuddin Bakar turut tidak bersetuju dengan Tengku Razaleigh, berdasarkan kepada tinjuan di lapangan yang menunjukkan orang ramai tidak berpuas hati dengan kerajaan.
“Mungkin itu persepsi beliau, menganggap pengundi terutamanya orang Melayu setia dengan BN.”
Tengku Razaleigh semalam berkata isu yang dibangkitkan pembangkang tidak akan melemahkan BN, dan menambah orang ramai tidak mudah terpengaruh dengan isu yang disifatkan sebagai perkara biasa dalam politik.
Beliau akui rakyat merasai kesan kenaikan harga barang namun itu bukan alasan untuk menolak BN pada pilihan raya umum ke-14 nanti.
Bagaimanapun, 2 penganalisis itu ragu-ragu rungutan dan ketidakpuasan hati orang ramai itu akan mempengaruhi pembuangan undi nanti.
Wan Saiful berkata ada kebenaran pada pandangan bekas menteri kewangan itu yang masalah kos sara hidup tidak cukup untuk menyebabkan pengundi menyokong pembangkang.
“Masyarakat mahu tengok apa yang mampu ditawarkan pembangkang, dan sama ada tawaran itu cukup meyakinkan mereka untuk melakukan perubahan,” katanya.
Read More / Baca Lagi >>