Terbaru, pembekuan pengambilan pekerja dalam sektor awam seolah-olah memberi petanda bahawa kerajaan kurang prihatin terhadap isu kelangsungan hidup golongan belia dan rakyat secara umumnya.
Statistik yang dikemukakan Jabatan Perangkaan Negara memberi gambaran tidak sihat tentang situasi pekerjaan di negara ini. Pada tahun 2016, 4.2% graduan tertiari (merangkumi universiti, politeknik, kolej komuniti, institut latihan dan sebagainya) didapati menganggur, manakala 2.6% daripada golongan yang tiada pendidikan rasmi tidak mempunyai pekerjaan. Jurang yang wujud antara 2 kelompok ini amat menghairankan, dan menimbulkan syak tentang peranan dan keberkesanan pihak kerajaan dalam menyediakan peluang pekerjaan yang berdaya saing di Malaysia.
Memang benar, ada perbezaan daripada segi penambilan pekerja lulusan SPM dan graduan, terutamanya daripada segi tahap kecekapan, kompetensi, kualiti dan permintaan pasaran.
Akan tetapi, ia tidak bermakna kebajikan graduan dan golongan belia dalam membina kerjaya boleh dipermainkan berdasarkan keadaan semasa.
Seringkali kita lihat, kerajaan Malaysia mengambil sesuatu tindakan drastik hanya apabila perkembangan terkini berubah ke arah yang lebih negatif. Begitu juga dalam isu pengangguran belia, apabila kerajaan mengambil langkah untuk mewujudkan beberapa program bantuan belia selepas ramai graduan melaporkan kegagalan dalam mencari pekerjaan yang sesuai dengan skil yang dimiliki.
Pelaksanaan berlompong Skim Latihan 1Malaysia (SL1M) adalah salah satu punca utama peningkatan kadar pengangguran belia di Malaysia. Program yang diwujudkan bagi memberi pendedahan kepada graduan itu disalah guna para majikan, yang menjadikan pengambilan pelatih SL1M sebagai alternatif mudah kepada pekerja tetap – lalu pelatih tersebut dipergunakan sebagai pekerja kontrak yang boleh dilupuskan sejurus tamat tempoh bekerja.
Kerajaan juga dilihat gagal dalam mengenalpasti pasaran kerja yang selari dengan “trend” masa depan. Ia menyebabkan kewujudan golongan graduan yang tidak memenuhi permintaan pasaran kerana mereka tidak dilengkapkan dengan skil dan ilmu yang sepatutnya di peringkat tertiari – dan berkemungkinan menjadi liabiliti pada majikan yang mengambil mereka sebagai pekerja. Isu ini kerap berlaku dalam sektor berteraskan sains, teknologi, vokasional dan teknikal, kerana kelewatan sistem pendidikan negara dalam mengadaptasi keperluan industri dengan bentuk pembelajaran di institusi tertiari.
Kerajaan harus mengambil langkah proaktif bagi mengatasi masalah pengangguran belia yang berlaku dalam generasi kini, dengan menawarkan solusi yang pantas dan tuntas. Perlu diingat, golongan belia (yang rata-ratanya berusia antara 25-29 tahun) yang memerlukan pekerjaan ini menghadapi tekanan dan persaingan daripada graduan baru yang lebih bersedia untuk memenuhi keperluan pasaran berdasarkan pengalaman “senior” mereka.
Read More / Baca Lagi >>