Update PERKASA terkejut PM mahu pahala, bukan undi >> Berita Malay 18

 Malaysiakini 20/8/17
PERKASA melahirkan rasa terkejut dengan kenyataan Datuk Seri Najib Razak baru-baru ini yang tidak mengharapkan undi daripada rakyat Kelantan sebaliknya hanya mahukan pahala.

Presidennya, Datuk Dr Ibrahim Ali berkata hal ini kerana ia berbeza dengan apa yang dilakukan perdana menteri itu sebelum ini.
"Isunya ialah dia tetapi akan bagi walaupun rakyat Kelantan tak undi dia, tak ada masalah sebab dia nak pahala saja, terkejut saya dengar sebab saya tengok di peringkat pusat banyak dasar yang diubah.

"Banyak permintaan Dong Zong, Hindraf dan golongan-golongan tertentu minta perkara yang kita tengok bertentangan dengan perlembagaan termasuk biasiswa dilaksanakan hanya kerana nak ambil hati, untuk dapatkan undi, sampai ke peringkat itu.

"Tapi berbeza di Kelantan, jadi saya tak faham dengan Najib ini atau pun dia fikir apa pun dia buat di Kelantan mereka tetap tak bagi undi," kata Ibrahim mengulas lawatan Presiden Umno itu baru-baru ini ke Kelantan.
Beliau berkata dalam sidang media selepas merasmikan Kongres Melayu Wilayah Persekutuan anjuran PERKASA Wilayah Persekutuan, di Kuala Lumpur hari ini.

Najib ketika berucap merasmikan bangunan tambahan Hospital Jeli, Kelantan pada 12 Ogos berkata kerajaan pusat tidak pernah menghukum rakyat Kelantan hanya semata-mata kerana tidak menyokong BN.
Najib berkata, beliau sehingga hari ini berpegang pada prinsip sentiasa berlaku adil kepada semua rakyat.

"Sebagai Perdana Menteri dan ketua kerajaan saya berpegang pada prinsip, iaitu tidak boleh mendera atau menghukum orang Kelantan semata- mata mereka tak sokong kerajaan BN.

"Malah sebagai pemimpin saya perlu berlaku adil kepada semua rakyat sama ada mereka sokong atau tidak BN. Sekurang- kurangnya kalau tak dapat undi, dapat juga pahala di akhirat nanti, insya-Allah. Tapi kalau dapat undi lagi baik," kata Najib.

Subscribe to receive free email updates: