Update Pindaan Akta 164: Bukan semudah bermain emosi tanpa jalan penyelesaian >> Berita Malay 18


Kes perceraian pasangan berlainan agama bukan suatu proses yang mudah.
Dalam isu pindaan Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan & Penceraian) 1976 atau juga dikenali sebagai Akta 164; sebagai Ahli Parlimen Islam, kita mempunyai pilihan sama ada ingin berhujah dengan emosi semata-mata atau orang putih kata "playing to the gallery" atau berhujah secara objektif dan tenang serta turut bersama cuba mencari satu penyelesaian yang tuntas dan praktikal kepada satu masalah yang sudah lama menghantui masyarkat di negara ini.
Pilihan pertama amat mudah dan mungkin tidak perlu berfikir secara mendalam bagi betul-betul memahami masalah sebenar secara teliti dan cuba keluar dengan satu formula penyelesaian yang tuntas dan praktikal. Dalam banyak keadaan, mereka yang memilih opsyen pertama ini selalunya akan berhujah lebih kepada bermain dengan emosi dan sentimen. Secara relatif, pilihan ini lebih bersifat populis. Pilihan ini mungkin lebih bebas daripada risiko dikecam atau dikeji oleh ramai umat Islam khususnya yang mungkin tidak begitu faham dan arif dengan "the nature of the real problem".
Pilihan kedua adalah pilihan yang secara relatifnya lebih berisiko dan tidak populis sifatnya. Bagaimanapun, pilihan ini lebih bersifat praktikal dan realistik tanpa mengkesampingkan hukum agama jauh sekali bersifat liberal menurut definisi longgar "liberalisme" daripada pihak yang lebih konservatif dan lebih selesa menghukum. Pilihan kedua ini lebih menonjolkan aspek keadilan dan "compassion" atau "mercy" yang menjadi teras utama Islam.
Walau apa pendirian atau pilihan yang ingin diambil, isu pokoknya adalah kita khususnya umat Islam kena memahami sebenar pokok masalah khususnya Akta 164 itu sendiri.Mohamed Hanipa Maidin
Secara mudah, Akta 164 adalah Akta yang mengawal perkahwinan dan penceraian orang-orang bukan Islam dalam negara ini. Seksyen 3(3) Akta ini secara jelas menyatakan bahawa Akta ini tidak terpakai kepada mana-mana pihak yang berkahwin mengikut Islam/Syariah. Dengan lain perkataan, Akta 164 tidak terpakai untuk orang Islam.
Meskipun Akta ini digubal bagi mengawal isu-isu perkahwinan dan penceraian orang bukan Islam dan isu-isu yang berkaitan dengannya seperti isu nafkah dan penjagaan anak-anak, namun  Akta ini juga tidak dapat lari daripada melibatkan orang Islam apabila salah satu pasangan bukan Islam itu memilih untuk memeluk Islam. Di sinilah bermulanya pertikian dan jika tidak diselia dengan berhati-hati boleh mencetuskan masalah yang lebih besar dan rumit.
Ada satu peruntukan dalam Akta 164 yang secara spesifik menyentuh isu salah satu pasangan bukan Islam memeluk Islam. Seksyen tersebut adalah seksyen 51. Sebelum kerajaan membawa pindaan ke atas Akta 164 di Parlimen semalam, seksyen 51 memang sudah sedia bermasalah (problematic).
Sebelum pindaan, seksyen 51 memperuntukkan antara lain jika salah satu pasangan bukan Islam memeluk Islam, maka hanya pasangan yang bukan Islam sahaja yang boleh memfailkan petisyen penceraian di mahkamah sivil bagi membubarkan perkahwinan mereka. Perkahwinan itu tidak terbubar dengan sendirinya seperti mana dalam hukum Islam. Mengapa begitu? Tidak pelik sebab dari awal, Akta 164 hanya diniatkan untuk perkahwinan di bawah undang-undang sivil (solemnised under the civil law).
Seksyen 51 ini memang mendatangkan masalah kepada pasangan yang memilih untuk memeluk Islam sama ada suami atau isteri. Dan jika ada anak kepada perkahwinan itu, lagi ada masalah besar.
Kerana apa? Kerana suami atau isteri yang masuk Islam itu tidak boleh membubarkan perkahwinan mereka sama ada secara automatik atau melalui satu perintah Mahkamah yang berkesan dan boleh berkuatkuasa ke atas dua-dua pihak.
Misalnya jika sisuami yang masuk Islam dan isterinya masih kekal dalam agama asal (agama non muslim), si suami tidak boleh membubarkan perkahwinan tersebut di mahkamah sivil sebab seksyen 51 tidak membenarkan dia berbuat demikian dan Sekyen 3(3) juga menghalang dia ke mahkamah sivil sebab Akta tersebut tidak lagi terpakai kepadanya sebab dia telah menganut Islam.
Apakah pilihan dia? Logiknya, dia terpaksa pergi ke Mahkamah Syariah bagi mendapatkan perintah untuk membubarkan perkahwinan. Dan itulah yang selalu dilakukan dalam kes seperti itu. Tapi adakah dengan pergi ke Mahkamah Syariah dan dapat perintah daripada Mahkamah Syariah, beliau dapat menyelesaikan masalah itu "once and for all".
Jawabannya tidak. Kenapa? Mudah. Kerana keputusan Mahkamah Syariah itu hanya laku dan berkuatkuasa kepada orang Islam sahaja. Ia tidak mengikat pasangan yang bukan Islam. Maknanya, jika katakan si suami dapat perintah Mahkamah Syariah yang membubarkan perkahwinan sebelum ini yang dibuat di bawah Akta 164, perintah itu tidak mengikat bekas isterinya yang masih kekal dalam agama asal. Secara teknikalnya, isteri itu masih dikira isterinya yang sah.
Yang lebih parah dan kronik lagi jika suami atau isteri yang Islam itu ada anak. Selalunya suami atau isteri yang Islam itu akan pergi ke Mahkamah Syariah bukan sekadar untuk membubarkan perkahwinan asal mereka tapi ia juga akan meminta Mahkamah Syariah mengeluarkan perintah penjagaan anak atau perintah mengisytiharkan anak yang bukan Islam itu menjadi Islam.
Lumrahnya, pasangan yang bukan Islam akan "upset" misalnya jika suami beliau bertindak secara unilateral (sebelah pihak) "mengislamkan" anak atau anak-anak mereka melalui perintah di Mahkamah Syariah. Bagi si isteri, itu tidak adil kerana ia dibuat hanya secara "ex-parte" (sebelah pihak) dan ia tidak diberi hak untuk didengar (rights to be heard).
Yang lebih merumitkan keadaan dan benar-benar megecewakan lagi isteri yang bukan Islam, kadangkala bukan sahaja si suami yang Islam itu "mengislamkan" anak atau anak mereka secara sebelah pihak, anak atau anak itu juga kadangkala "dibawa lari" oleh si suami tanpa pengetahuan isteri. Kita boleh memahami betapa sedih, kecewa dan marah mana-mana ibu yang dipisahkan dengan anak atau anak yang beliau susah payah lahirkan. Ini naluri ibu tanpa mengira agama. Malangnya, ada setengah orang Islam seolah-olah tidak kisah akan hal ini.
Read More / Baca Lagi >>

Subscribe to receive free email updates:

Related Posts :