Update PKR komited kepada usaha kukuhkan PH >> Berita Malay 18



Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dalam kenyataan ringkasnya menjelaskan,  Biro Politik PKR yang telah mengadakan mesyuarat mingguannya petang ini telah membuat ketetapan bahawa parti itu komited kepada usaha mengukuhkan Pakatan Harapan serta menyusun strategi untuk menewaskan Umno-BN pada Pilihan Raya Umum ke-14.
Ia susulan kenyataan yang dibuat oleh Naib Presiden PKR Rafizi Ramli hari ini, yang menjelaskan sebab ketidakhadirannya dalam mesyuarat Biro Politik parti itu dan sehingga timbulnya cadangan agar diadakan Kongres Khas untuk wujudkan kerjasama PKR-Pas.
Rafizi menjelaskan isu ketidakhadirannya ke mesyuarat Biro Politik PKR digunakan sebagai alasan kononnya beliau tidak mengetahui keputusan berunding dengan Pas adalah keputusan parti yang diputuskan oleh Biro Politik PKR.

Katanya, beliau telah membuat keputusan untuk tidak hadir ke mesyuarat Biro Politik sejak Ogos 2016 selepas jelas perbezaan pendapat di Biro Politik yang berpanjangan akan membantutkan persediaan parti menjelang PRU14.
Ia berikutan rentetan peristiwa-peristiwa berikut seperti yang dinyatakan Rafizi:

1.Pertembungan 3 penjuru di pilihanraya Sarawak (Mei 2016) walaupun keputusan Biro Politik adalah jelas mengekalkan persetujuan pembahagian kerusi yang diputuskan di peringkat Majlis Presiden PH pada ketika itu dan ditandatangani sendiri oleh Timbalan Presiden parti

2.Tindakan melengah-lengahkan penyertaan PH di dalam Pilihanraya Kecil Sungai Besar dan Kuala Kangsar sehingga ke saat akhir sehingga beliau terpaksa mengeluarkan satu Pekeliling Setiausaha Agung mengarahkan jentera parti turun membantu jentera PH (dari AMANAH dan DAP ketika itu) tanpa menunggu keputusan Biro Politik yang tidak kunjung tiba.
Rafizi turut menerangkan sejak Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dipenjarakan, keputusan di peringkat Biro Politik menjadi sukar untuk dicapai bila ada perbezaan pendapat.
"Jika pun telah ada persetujuan di peringkat Biro Politik, jika itu tidak disukai oleh seseorang maka keputusan itu tidak dihormati malah akan dibuka balik di dalam mesyuarat Biro Politik yang seterusnya untuk ditukar kembali (seperti yang berlaku dengan keputusan perletakan jawatan pimpinan parti di dalam Kerajaan Kelantan). Akibatnya mesyuarat Biro Politik menjadi tempat polemik politik yang berpanjangan tanpa menghasilkan gerakan yang berkesan di bawah.

"Keadaan ini semakin menjadi-jadi dalam isu yang paling sensitif iaitu kerjasama dengan Pas kerana ia melibatkan Kerajaan Selangor. Oleh kerana pandangan Timbalan Presiden ialah untuk terus membuka pintu kepada PAS sehingga ke saat akhir untuk memastikan kemenangan di Selangor, sebarang langkah yang dilihat tidak disukai oleh Pas ditolak.

"Maka keputusan untuk menubuhkan Pakatan Harapan (yang mana saya menjadi tulang belakangnya sebagai Setiausaha Agung pada ketika itu) melebarkan lagi perbezaan pendapat antara saya dan Timbalan Presiden. Peristiwa-peristiwa di Pilihanraya Sarawak dan Pilihanraya Kecil Kuala Kangsar dan Sungai Besar adalah berpunca dari pandangan yang mengaitkan sebarang inisiatif yang membabitkan Pakatan Harapan akan menguntungkan saya secara politik, maka ia tidak wajar disokong.

Read More / Baca Lagi >>

Subscribe to receive free email updates: