PKR sombong, berlagak seolah parti terkuat, berterusan memfitnah PAS terima dedak Umno, kata Khairuddin Aman Razali.
Beliau berkata demikian selepas Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail hari ini berkata partinya masih terbuka kepada kerjasama dengan PAS dalam soal penentuan kerusi pada pilihan raya umum akan datang, hampir 3 bulan selepas parti Islam itu memutuskan kerjasama.
PKR, dan gabungannya, Pakatan Harapan berhasrat memastikan pertandingan 1 lawan 1 menentang Barisan Nasional, namun PAS sebelum ini pernah membayangkan pertandingan 3 penjuru di kerusi yang ditandingi pembangkang.
“Macam mana nak bekerjasama jika pimpinan PKR berterusan menyerang PAS dengan pelbagai tuduhan termasuk fitnah PAS menerima dedak Umno?” kata Khairuddin kepada FMT.
Beliau berkata PKR menghulurkan kerjasama kerana merasakan kedudukan mereka, khususnya di Selangor, yang ditadbir bersama PAS tergugat.
“Ini hanyalah cubaan PKR menagih simpati PAS,” jawab Khairuddin. “Sebelum ini mereka sombong dan berlagak seolah merekalah parti terkuat di dunia.”
PAS memiliki 13 kerusi DUN di Selangor, bersama dengan PKR (13), DAP (14) dan Amanah (2) untuk membentuk sebuah kerajaan gabungan. Kerusi DUN Bukit Antarabangsa, yang diduduki Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Azmin Ali, berkongsi kawasan Parlimen Ampang dengan Adun Lembah Jaya Khasim Abdul Aziz dari PAS. Kerusi Parlimen Gombak turut mempunyai seorang Adun PAS, Hasbullah Mohd Ridzwan di DUN Gombak Setia.
Sementara kerusi Parlimen Permatang Pauh, yang diduduki Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, mempunyai seorang Adun PAS, Salleh Man di DUN Permatang Pasir.
“Ahli dan pimpinan PAS tidak sesekali akan dipatuk ular 2 kali dalam hubungan dengan PKR,” kata Khairuddin.
Read More / Baca Lagi >>