Pengerusi PPBM, Dr Mahathir Mohamad berkata, parti itu yakin ahli Majlis Pimpinan Tertingginya tidak terbabit dalam penyalahgunaan kuasa.
KUALA LUMPUR: PPBM akan memberi pembelaan secukupnya kepada seorang pemimpin tertingginya yang ditahan bagi membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam kes pembelian sebuah hotel di Sarawak, pada 2014.
Pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, PPBM yakin ahli Majlis Pimpinan Tertinggi parti itu tidak terbabit dalam penyalahgunaan kuasa.
“Kita akan ambil tindakan untuk jaga kepentingan dia kerana kita tidak percaya dia terlibat.
“Dia bersama dengan (Tan Sri) Isa (Samad) sekian lama, tapi dia berhenti sebab tidak puas hati,” katanya selepas menyerahkan memorandum meminta Yang di-Pertuan Agong menggunakan kuasa di bawah Perkara 130 Perlembagaan Persekutuan untuk merujuk kesahihan pelantikan Tan Sri Raus Sharif sebagai ketua hakim negara kepada Mahkamah Persekutuan.
Semalam, seorang bekas pegawai Isa direman 5 hari bagi membantu siasatan kes pembelian sebuah hotel di Sarawak pada 2014.
Penahanan itu menjadikan 4 individu setakat ini disiasat dalam kes pembelian Merdeka Palace Hotel oleh Felda Investment Corporation (FIC).
Isa meletak jawatan sebagai pengerusi Felda Global Ventures Holdings (FGV) pada 19 Jun lalu, selepas kontroversi membabitkan syarikat itu.
Pada 14 Julai lalu, SPRM membuka kertas siasatan berhubung pembelian hotel itu yang disyaki diperolehi dengan harga lebih tinggi berbanding harga asal.
Dr M yakin pemimpin tertinggi PPBM tidak terlibat