Update Sukan SEA, merdeka, Najib akan bubar parlimen? >> Berita Malay 18



Negara akan menyambut Hari Kebangsaannya pada hari Khamis 31 Ogos ini di sebalik latar belakang kemenangan dan kejayaan Sukan SEA yang ke-29. Tahniah kepada rakyat Malaysia dan mereka yang menjayakannya!
Sebagaimana boleh diramalkan, kedua-dua peristiwa penting ini bakal menaikkan imej negara di mata rakyat kerana semangat kemerdekaan dan mood positif yang mahu ditonjolkan. Maka apakah Datuk Seri Najib akan bubar parlimen dengan segera untuk memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14?
Soalan yang tidak kurang pentingnya ialah apakah rakyat kaitkan mood positif Hari Kebangsaan dan Sukan SEA dengan sokongan kepada Umno BN dalam PRU14?
Logo Hari Kebangsaan 2017Pada pendapat saya, ia tidak semudah itu kerana rakyat bijak menilai. Sementara faktor mood positif itu tidak dinafikan boleh memihak kepada Umno BN sebagai parti pemerintah namun banyak lagi faktor lain yang perlu diambil kira.
Malah soal apakah mood positif itu boleh diterjemahkan kepada undi juga perlu dijawab dengan jujur bukan dengan “hooha”.

Sukan bukan pentas politik
Lagi pun, bukan sewajarnya pentas sukan boleh dipolitikkan dengan kemasukkan Menteri Belia dan Sukan dalam acara polo Sukan SEA apatah lagi menagih sokongan undi atas kesungguhan atlet mencipta kemenangan.
Secara peribadi, saya kagum dengan komitmen Khairy Jamaluddin tetapi saya percaya sebagai seorang bertaraf Menteri dan tuan rumah Sukan SEA, beliau seharusnya tidak terlibat sebagai peserta. Lebih baik tumpu kepada penganjuran dan penyelesaian masalah yang timbul.
Selain isu bendera Indonesia yang terbalik, antara lain terdapat rungutan tentang urusan pengangkutan skuad sukan, kesukaran media mendapatkan maklumat pertandingan dan keputusan terkini.
Hakikatnya, isu keperitan hidup rakyat belum terungkai dengan masalah kos sara hidup yang tinggi, harga barang yang melambung dan cukai GST yang menekan. Begitu juga isu skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang masih menjadi misteri bagaimana wang dana strategik boleh mengalir keluar ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri, Jho Low, Riza Aziz dan ramai lagi. Ini semua tidak boleh dilupakan dan tidak akan hilang daripada radar rakyat dan antarabangsa.
Justeru walaupun mood positif itu benar atau “real” dan atlet Sukan SEA negara bakal berjaya meraih emas terbanyak dalam sejarah negara, namun saya percaya mereka lakukannya bukan kerana Datuk Seri Najib atau Khairy Jamaluddin atau mana-mana ahli politik. Mereka lakukannya kerana mereka sayangkan negara dan sumbangan mereka boleh menaikkan imej negara yang telah rosak akibat kepincangan pemimpin politik khususnya Umno BN. Untuk itu sekali lagi saya ucapkan tahniah kepada atlet, jurulatih dan penyokong.
Atas sebab itu juga, saya percaya jika Malaysia ditadbir urus dengan baik oleh kepimpinan negara yang amanah dan berwibawa tanpa rasuah dan penyelewangan, dengan wujudnya semak dan imbang yang berkesan, dengan pengurusan ekonomi yang mampan serta agihan kekayaan yang saksama di mana keselamatan, kesihatan dan kebajikan rakyat terpelihara, maka rakyat akan lebih-lebih lagi berbesar hati memberi sumbangan tidak kira dalam sukan, pendidikan atau sains dan teknologi. Malah saya yakin, negara dan rakyatnya boleh mencapai kecemerlangan yang lebih baik dalam sukan atau apa juga bidang lain.

Read More / Baca Lagi >>

Subscribe to receive free email updates: