Masyarakat hari ini berdepan krisis meruncing apabila konsep keluarga yang bersifat melindungi, mendidik dan penuh kasih sayang semakin luntur serta penuh kepincangan kata Ahli Parlimen Kota Raja Dr Siti Mariah Mahmud.
Mengulas mengenai perbicaraan Mahkamah Jenayah Seksual Terhadap Kanak-kanak terhadap seorang bapa pada 4 Julai lalu amat menimbulkan perasaan sedih dan terkilan.
"Paling menyayat hati adalah kes ini di mana seorang bapa didakwa atas 600 pertuduhan membabitkan merogol dan meliwat anak perempuannya tiga kali setiap hari sepanjang tujuh bulan lalu yang disifatkan pertama kali dalam sejarah.
"Lebih sadis seperti kes yang dilaporkan di Sarawak apabila datuk, bapa kandung dan bapa saudara sendiri menjadi perogol. Sukar memahami bagaimana kesemua mereka tanpa segan silu dan malu melakukan jenayah terkutuk itu," ujarnya dalam kenyataan.
Dr Siti Mariah yang juga Biro Komunikasi Awan turut berkongi berpengalaman di kalangan mereka yang terbabit dalam bidang kebajikan sosial dan perubatan, yang memberikan petunjuk kejahilan ibu kepada hukum-hukum agama turut menjadi punca berlakunya jenayah sumbang mahram ini.
"Terdapat kes di mana terdapat ibu yang membiarkan anak perempuan tidur bersama datuknya tanpa memahami di sana wujudnya hukum agama mengenai batas-batas pergaulan dan perhubungan walaupun antara sesama anggota keluarga.
"Saya juga yakin kejadian-kejadian jijik seperti ini masih berleluasa berlaku di luar sana tetapi wujud pula beberapa kekangan yang menyukarkan tangkapan dan dakwaan dibuat.
"Antaranya adalah hidup mangsa yang bergantung kepada perogol sehingga menimbulkan dilema untuk membuat laporan kerana bimbang dengan nasib dirinya jika perogol itu yang juga anggota keluarganya dipenjarakan.
"Lebih mengecewakan apabila terdapat pula anggota keluarga perogol yang juga saudaranya meminta mangsa tidak melaporkan atas faktor yang sama. Dalam hal ini, pihak berkuasa dan pertubuhan kebajikan perlu memikirkan langkah untuk membantu mangsa dan keluarga jika perogol itu dipenjarakan.
"Selain itu, mangsa juga terpaksa menyembunyikan masalah ini kerana malu dengan nasibnya jika diketahui keadaan dirinya yang pernah dirogol. Dalam hal ini, emosi mangsa rogol tidak sama dengan mangsa jenayah yang lain," ujarnya.
Katanya lagi, jika perogol ditangkap, masyarakat sekeliling secara mudah akan mengetahui siapa mangsa rogol itu apatah lagi bila kes ini dilaporkan secara meluas dalam media.
Berbeza dengan perogol yang disumbatkan dalam penjara, ujarnya, keadaan berbeza dengan mangsa dan keluarga apabila mereka terpaksa berdepan dengan masyarakat keliling setiap hari. Hubungan dengan saudara-mara juga sudah pasti turut terjejas dan porak peranda.
Apabila keadaan bertambah buruk, langkah terbaik boleh diambil mungkin berpindah keluar dari kampung atau kejiranan tersebut. Nak berpindah pula tidak mudah, banyak perkiraan perlu diambil yang membabitkan soal kewangan juga.
Read More / Baca Lagi >>