PADA 30 Julai yang lalu, secara tiba-tiba Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi melontarkan peluru kepada Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Dr Mahathir Mohamad. Anehnya, peluru yang digunakan Zahid ini adalah sebutir peluru yang sudah lapuk atau sudah diguna pakai aktivis pembangkang sejak sekian lama.
Untuk berkurun lama, aktivis sosial seperti Hishamuddin Rais menggunakan nama “Mahathir a/l Iskandar Kutty” sebagai gelaran kepada Dr Mahathir.
Pada hemat saya, Zahid sebenarnya mahu menunjukkan kepada Perdana Menteri Najib Razak kesetiaan beliau terhadap bosnya seperti mana yang dilakukan ahli Umno yang lain.
Tetapi, kenapakah Zahid melakukan perkara ini secara tiba-tiba? Apakah sebenarnya kedudukan Zahid dalam Umno terancam dan Zahid sedang disisihkan? Saya tidak ada jawapan untuk soalan ini, hanya Zahid yang tahu.
Selang sehari selepas Zahid menyerang Dr Mahathir, orang tua berumur 92 tahun itu menyatakan Zahid berjumpanya selepas dilantik sebagai timbalan perdana menteri untuk mendapatkan sokongan supaya Najib boleh digantikan sebagai perdana menteri.
Memang besar impian bekas ketua Pemuda Umno ini yang pernah bersama Anwar Ibrahim di zaman reformasi dulu. Intipati mesyuarat antara Zahid dan Dr Mahathir diketahui mereka berdua dan “SD card” yang digunakan Zahid untuk merakam mesyuarat tersebut.
Perjumpaan ini sebenarnya merungkai pelbagai persoalan. Bukankah Zahid tidak tahu Dr Mahathir sebenarnya sudah menjadi sosok pembangkang yang mahu jatuhkan Najib dan juga Barisan Nasional (BN)?
Jika benar Zahid begitu setia kepada Najib, kenapa perlu berjumpa Dr Mahathir, yang boleh dilihat bekerja dengan pembangkang?
Jika Zahid begitu setia kepada Najib, Zahid sepatutnya berjumpa semua ketua bahagian Umno untuk mengukuhkan ketuanya. Satu dunia mengetahui Dr Mahathir sedang bekerja siang malam untuk menjatuhkan Najib dan mustahil seorang TPM baru yang 10 hari ketika itu tidak mengetahuinya.
Baru-baru ini, presiden Umno mempertahankan timbalannya di Shah Alam, di mana Najib berkata mereka berdua berkawan sejak 1986 dan saling percaya akan kesetiaan masing-masing.
Read More / Baca Lagi >>