Angkatan Wanita Amanah Nasional (AWAN) diseru meneruskan perjuangan mengangkat martabat wanita tanpa rasa apologetik kerana ia selaras dengan kehendak Islam.
Ketuanya Dr. Siti Mariah Mahmud berkata ramai wanita bimbang untuk memberi komitmen terhadap perkara ini kerana takut dituduh bersekongkol dengan kumpulan yang memperjuangkan feminisme dan liberalisme yang akhirnya menuntut hak yang sama taraf antara lelaki dan perempuan.
"Saya sendiri sudah sedia maklum dilabel sedemikian rupa.
"Dengan mudah saya menerima kecaman dan pelbagai label yang negatif," katanya ketika menyampaikan ucaptama di konvensyen AWAN Nasional Kali Ke-2 di Seri Kembangan hari ini.
Nabi Muhammad S.A.W. sendiri katanya, adalah reformis masyarakat dan feminis ulung yang membawa pembaharuan di dunia ini.
"Kita selalu mendengar bahawa Islam telah memberi status yang amat tinggi kepada wanita.
"Ini semua berlaku jauh sebelum wanita di barat menikmatinya," katanya.
Wanita Islam menurutnya lebih jauh ke hadapan dari segi pengiktirafan agama.
"Ada yang persoalkan apa perlunya wanita Islam memperjuangkan hak seolah-olah mereka tiada hak di dalam Islam.
"Memang benar hak telah diberikan oleh agama tetapi yang kita tuntut ialah pelaksanaannya dan jika ada pertikaian ialah sebahagian daripada pemahaman dan pentafsirannya," katanya.
Ahli Parlimen Kota Raja itu turut menegaskan, wanita tidak harus terperangkap dalam bentuk retorik dan dogmatik.
"Menjadi satu tuntutan untuk kita jelmakan usaha ini dalam bentuk yang lebih realistik dan 'tangible'.
"Kita jangan lupa adanya golongan wanita bukan Islam turut menganggotai AWAN.
Read More / Baca Lagi >>