Update WORLD #QURANHOUR, MERDEKA #QURANHOUR BAWA MAKNA BESAR >> Berita Malay 18


World #QuranHour, Merdeka #QuranHour bawa makna besar


Putrajaya - Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Tan Sri Othman Mustapha berharap umat Islam menjadikan bacaan al-Quran sebagai budaya seperti akhbar harian.

"Kita mahu lihat al-Quran sentiasa melekat di hati umat Islam, seperti mana setiap individu menjadikan akhbar sebagai bahan bacaan harian,” katanya berhubung penganjuran World #QuranHour dan Merdeka #QuranHour pada 31 Ogos ini.

Menurutnya, kedua-dua program anjuran Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUI) itu bakal membawa makna besar, kerana ia bertujuan memberi galakan kepada umat Islam agar sentiasa membaca al-Quran, seterusnya memahami dan mengamalkannya sebagai panduan kehidupan.

“Jakim selaku penaung program World #QuranHour dan Merdeka #QuranHour menyokong penganjuran program ini kerana ia dilihat sebagai satu usaha untuk menyedarkan umat Islam supaya menjadikan amalan membaca al-Quran sebagai satu budaya yang dilakukan setiap hari.

“Malah, kita percaya program ini bukan hanya bakal memberi impak kepada masyarakat Islam supaya membaca, memahami dan menghayati al-Quran, tapi ia turut memberi persepsi betul terhadap amalan membaca al-Quran,” katanya kepada pemberita satu sidang media, semalam.

Pada masa sama, beliau meminta semua masjid dan surau di sekitar Lembah Klang, terutama di Kuala Lumpur supaya terlibat secara langsung dalam program tersebut.

“Saya akan minta kerjasama Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) bagi memastikan masjidmenghantar wakil kariah masing-masing untuk mengimarahkan program Merdeka #QuranHour.

“Sebagai tanda sokongan, Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya, salah sebuah masjid utama di bawah Jakim turut menganjurkan buat kali kedua program World #QuranHour pada 31 Ogos ini bermula jam 11 pagi,” katanya.

Sementara itu, Pengasas WUI, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub berkata, program tersebut tidak hanya mengehadkan penglibatan umat Islam, malah ia turut terbuka kepada orang bukan Islam.


Othman ketika bercakap berhubung World #QuranHour sambil di perhatikan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan WUI, Mahani Yusoff.


\“Sesiapa sahaja yang berminat hadir, kita alu-alukan kerana kedua-dua program ini lebih menumpukan kepada terjemahan ayat al-Quran.

Sepanjang bacaan dijalankan, terjemahannya juga akan dipaparkan menerusi skrin yang kita sediakan.

“Jadi, ia bukan hanya beri kefahaman kepada umat Islam itu sendiri tapi juga bagi mereka yang bukan beragama Islam akan tahu apa sebenarnya dikisahkan di sebalik ayat al-Quran,” katanya.

Beliau yang juga Pengarah Urusan Kumpulan Media Karangkraf berkata, sehingga Khamis lalu, trending #QuranHour telah mencecah 279 juta hits.

“Alhamdulillah, kalau diikutkan pencapaian ini, berlipat kali ganda daripada penganjuran World #QuranHour tahun lalu.

“Ini membuktikan kesedaran masyarakat terhadap kempen World #QuranHour yang turut didukung oleh semua sinergi media di seluruh negara semakin meningkat,” katanya


Subscribe to receive free email updates: