Berdasarkan survei Malaysia yang di jalankan oleh Institut Darul Ehsan (IDE), rakyat Malaysia bersetuju bahawa kenaikan kos sara hidup adalah berpunca Cukai Perkhidmatan dan Barang (GST) yang telah di laksanakan oleh kerajaan Barisan Nasional pada 1 April 2015
Mengikut kajian, 82% rakyat Malaysia telah menjawab setuju bahawa GST adalah punca utama kenaikan kos sara hidup, manakala hanya 8% sahaja yang tidak bersetuju.
IDE telah menjalankan beberapa siri survei sebelum ini, turut mendedahkan bahawa trend penolakan pengundi yang semakin meningkat dapat dilihat sejak 2015 apabila soalan berkaitan GST diajukan, walaupun kerajaan Barisan Nasional telah menggunakan segala medium yang ada untuk memberi pendedahan yang positif mengenai GST dari semasa ke semasa.
Berdasarkan “tracking” IDE sejak 2015, didapati bahawa:
1. Persepsi masyarakat bahawa isu GST telah menyebabkan kenaikan harga barang.
2. Kenaikan harga barang ini memberikan kesan kepada sara hidup dan masalah ekonomi rakyat khususnya yang tinggal di kawasan-kawasan bandar.
3. Kenaikan harga barang dirasai rakyat secara menyeluruh oleh pelbagai lapisan masyarakat termasuk golongan berpendapatan rendah dan ‘miskin bandar’.
4. Kajian IDE juga mendapati keluhan dan ketidakpuasan hati masyarakat terhadap GST ini adalah merentas umur, kaum dan pekerjaan termasuk tempat tinggal.
5. Lebih 55% Penyokong Barisan Nasional (BN) dikalangan responden, turut menyuarakan bantahan dan ketidakpuasan berhubung dengan dasar GST di negara ini.
Kajian ini dilaksanakan secara akademik dan saintifik oleh IDE dengan melibatkan 64 orang enumerator terlatih yang turun secara bersemuka dengan 4468 responden di semua negeri yang dibahagikan mengikut Parlimen.
IDE menggunakan inovasi terkini dalam penyelidikan dengan menggunakan tablet dan aplikasi IDE e-survey yang dibangunkan sendiri oleh IDE.
Inovasi ini membolehkan profil sampel responden, lokasi enumerator dan tugasan mereka dipantau secara real time di bilik operasi IDE bagi memastikan ketepatan survei berdasarkan profil responden yang telah ditetapkan.
Responden terdiri daripada pelbagai kaum melibatkan Melayu, Cina dan India serta terdiri dari pelbagai latar belakang pekerjaan, tempat tinggal, taraf pendidikan dan lain-lain.
Selain survei yang dijalankan, IDE juga mengadakan perbincangan berkelompok dengan pelbagai kumpulan bagi menentukan keabsahan dan menyemak dapatan.