"Mereka sudah menunjukkan sifat negatifnya dengan hanya mentadbir negeri. Belum lagi (mentadbir) negara dan telah pun menunjukkan perangai yang boleh menempah ketegangan dalam masyarakat majmuk ini," katanya.
Tambah Abdul Hadi, DAP dan HARAPAN juga didakwanya menunjukkan keberaniannya mahu merungkai perkara asas dalam kontrak sosial yang telah diikat dalam Perlembagaan Negara.
Keadaan itu, katanya, berbeza dengan PAS di Kelantan yang boleh meneruskan perjuangannya walaupun "dicekik dan dijerut lehernya" tetapi mereka "tidak dapat dicucuk hidungnya".
Pernah sebelum ini menggelar DAP sebagai "butir tahi" Parti Tindakan Rakyat (PAP) Singapura, Abdul Hadi juga mengingatkan penyokongnya supaya tidak terikut dengan kumpulan yang tidak senang dengan pendekatan Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) PAS.
Alasannya, kata Abdul Hadi, PAS melaksanakan dasar itu dengan konsep taawun yang ditunjukkan al-Quran dan sunnah dan ia membezakan parti itu pembangkang lain.
"(Mereka) semata-mata membangkang dan berebut kerusi untuk memerintah tanpa mengira benar atau salah, dan jauh sekali halal dan haramnya," kata Abdul Hadi lagi.
Mati kalau tak ada kerusi
PAS pernah bekerjasama dengan DAP dan PKR semasa menghadapi pilihan raya umum (PRU) ke-12 dan kemudian membentuk gabungan Pakatan Rakyat.
Gabungan itu bertahan sehingga PRU ke-13 pada 2013 sebelum hubungan mereka menjadi tegang dan berakhir dengan tamatnya pakatan berkenaan selepas itu.
PKR dan DAP - bersama bekas pemimpin PAS yang menubuhkan Parti Amanah Negara (AMANAH) - kemudian menubuhkan HARAPAN. PAS bagaimanapun kekal berseteru dengan DAP, AMANAH dan PKR.
Pada masa sama Majlis Presiden HARAPAN memuktamadkan bahawa tidak ada rundingan diadakan dengan PAS dan persiapan sewajarnya dibuat bagi menghadapi kemungkinan berlaku pertembungan tiga penjuru.
Read More / Baca Lagi >>