Update DASAR TIDAK POPULAR NAJIB BERI IMPAK POSITIF >> Berita Malay 18




Kuala Lumpur: Pelbagai dasar tidak popular dilaksanakan kerajaan Malaysia ketika mengharungi dua Pilihan Raya Umum (PRU) pada 2008 dan 2013, disifatkan keberanian politik luar jangka dan jarang ditemui.

Bekas rakan kongsi di Agensi Risiko Ekonomi dan Politik yang berpangkalan di Hong Kong, Dr Bruce Gale, berkata dasar merangkumi pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) serta pemansuhan pelbagai subsidi itu sekali gus menyaksikan parti pembangkang menjadi lebih kuat dalam arena politik Malaysia.

Beliau menyifatkan aspek ketara dalam penulisan mengenai ekonomi Malaysia sejak beberapa tahun lalu, adalah bersandarkan kontroversi walaupun diakui ia memberi kesan besar.

"Cuma, adakah tepat untuk mengandaikan bahawa isu yang wajar dirujuk berhubung cara pemerintah di Kuala Lumpur menguruskan ekonomi membabitkan tuduhan salah laku kewangan atau penipuan?

"Malah, bagi sesetengah pemerhati, tiada perkara lain lebih penting kecuali pendedahan terbaharu berhubung 1Malaysia Development Bhd (1MDB), Felda Global Ventures (FGV) dan kontroversi derma Arab Saudi AS$681 juta (RM2.6 bilion).

"Satu daripada kesannya ialah kecenderungan melihat secara negatif setiap dasar kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak," katanya dalam tulisan yang disiarkan di akhbar Straits Times Singapura, semalam.

Bruce yang kini menyediakan perkhidmatan editorial serta analisis dan penyelidikan bebas untuk sektor swasta berkata, pengkritik kebiasaannya akan menunjukkan statistik yang menyokong hujah bahawa di bawah pemerintahan Najib, hutang Malaysia melambung, nilai ringgit merudum dan inflasi tidak terkawal sehingga menjejaskan pendapatan golongan miskin.

Bagaimanapun, katanya, wajarkah Perdana Menteri dipersalahkan jika krisis melanda negara angkara spekulasi pemerhati yang kesahihannya sentiasa diragui.

"Malang sekali semua parti politik tenggelam dalam emosi hingga timbul bahaya cubaan merangka penilaian objektif, tidak mendapat perhatian seperti hujah saya menerusi buku terbaharu 'Economic Reform In Malaysia: The Contribution Of Najibnomics' (diterbitkan bulan lalu di Malaysia oleh Pelanduk Publications).

"Contohnya, kontroversi mengenai hutang negara yang sebenarnya tidaklah begitu genting kerana hampir semua kenaikan hutang Kerajaan Persekutuan berlaku dalam tempoh setahun, iaitu pada 2009.

"Pada tahun berkenaan, setiap kerajaan di seluruh dunia, termasuk Malaysia berbelanja besar dalam ekonomi masing-masing sebagai tindakan balas kepada krisis kewangan global.

"Berikutan itu, hutang jika mengikut peratusan Kadar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) meningkat kepada 52.8 peratus, namun sejak itu, kadarnya lebih kurang, meningkat pada tahun tertentu dan menurun pada ketika lain.

"Tidak nampak langkah perbelanjaan secara cuai atau boros, malah sebahagian besar hutang adalah dalam ringgit, bukan dalam mata wang seperti dolar Amerika," katanya.

Selaras percaturan bijak itu, Bruce berkata, sebarang kejatuhan mendadak nilai ringgit atau senario membabitkan aliran modal masuk ke Malaysia terhenti tidak akan mencetuskan krisis hutang.

Katanya, keutuhan ekonomi itu disokong pelbagai agensi penarafan yang mengambil pendirian, tunggu dan lihat, selain menyangkal bahawa rangkaian kemelut, termasuk FGV serta 1MDB berupaya memberi kesan negatif terhadap Malaysia.

"Memang benar nilai ringgit semakin lemah sejak beberapa tahun lalu, tetapi ia disebabkan faktor luar, bukan domestik terutama penurunan dramatik harga minyak antarabangsa dan eksport komoditi Malaysia, malah secara perbandingan, impak suasana politik tidak menentu disebabkan pelbagai kontroversi dilihat kecil saja.

"Justeru, mereka yang mendakwa nilai lemah ringgit mencerminkan keyakinan rendah pelabur asing pada pentadbiran Najib perlu jelaskan mengapa pasaran saham tidak runtuh dan mengapa institusi antarabangsa seperti Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia konsisten menyiarkan penilaian positif ekonomi Malaysia.

"Penting juga diingatkan bahawa ringgit yang lemah tidak semestinya tidak baik kerana ia menjadikan eksport Malaysia lebih murah dan memberi peluang kepada pelabur langsung asing bertapak dengan kos minimum jika mahu," katanya.


Subscribe to receive free email updates: