Doktor yang menyambut kelahirannya pada awal pagi 31 Ogos 1957 menamakannya Wang Merdeka tetapi ketika umurnya kini 60 tahun, warga emas itu terus memerah keringat menyara kehidupan kerana kos sara hidup yang tinggi.
"Kita hendak bercakap tetapi rasa perit dan sakit hati. Malaysia banyak duit dan banyak perkara kita boleh buat. Kenapa sekarang masih susah. Dulu gaji tiga ribu (RM3,000), boleh sara satu keluarga enam beranak.
"Sekarang untung lapan ribu (RM8,000) kenapa tak cukup? Ada sikitlah gaji lebih kalau campur sama gaji isteri," kata Wang Merdeka yang berasal dari Johor.
Pengusaha kedai makan di Batu Pahat itu mengakui agak sukar untuk menjalankan perniagaan lebih-lebih waktu sekarang dengan kos yang tinggi.
"Sekarang saya masih boleh berniaga tetapi berapa banyak kamu dapat untung kamu kena simpan.
"Kos sara hidup meningkat, kita hidup susah.Jangan cakap banyak, kita kena kerja sampai tua,” keluhnya kepada The Malaysian Insight.
Bukan Wang Merdeka saja yang bekerja sendiri terpaksa bekerja sampai tua, mereka yang bekerja dalam sektor awam juga kini digalakkan untuk bekerja lama-lama apabila tempoh persaraan dilanjutkan daripada 55 tahun kepada 56 tahun pada 2001 manakala daripada 56 tahun kepada 58 tahun pada 2008. Ia kemudian ditingkatkan kepada 60 tahun pada tahun 2012.
Hampir 30 tahun berniaga, Wang Merdeka masih tidak ada rumah. Bersama isteri dan dua anak perempuannya, mereka tinggal di rumah kedai yang juga pintu rezeki.
Harapannya hanya satu iaitu mahu kos sara hidup diselesaikan dan tiada lagi kemiskinan dalam negara tercinta.
Tidak sekadar berkongsi tarikh kelahiran, Mohd Merdeka Che Soh juga mempunyai harapan sama dengan Wang Merdeka.
Pesara guru mata pelajaran Sejarah itu juga mahu ekonomi Malaysia terus maju terutamanya di negeri pantai timur.
Read More / Baca Lagi >>