Menurut laporan Berita Harian Online, dua daripada tujuh suspek kes membakar tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Datuk Keramat, akan didakwa atas kesalahan membunuh dan khianat dengan api, esok.
Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim, berkata hanya mereka yang didapati terbabit secara efektif atau terbabit secara langsung dalam kejadian berkenaan akan diambil tindakan.
"Baki mereka yang tidak didakwa akan disiasat mengikut Akta Dadah Berbahaya kerana mengambil dadah serta berperanan sebagai saksi kejadian berkenaan.
"Perkara ini sudah diputuskan selepas pegawai penyiasat mengadakan perbincangan dengan Pejabat Peguam Negara mengenai tindakan susulan terhadap kes bakar itu," katanya dalam sidang media di Bukit Aman, tengah hari tadi.
Sementara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh, berkata dua daripada suspek berkenaan akan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Katanya, lima lagi dan seorang suspek utama akan didakwa mengikut Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya 1952.
"Mereka akan dibawa ke mahkamah pagi esok," katanya dalam kenyataan hari ini. - Berita Harian Online