Update Ibu bapa digalak hantar anak ke prasekolah kerajaan >> Berita Malay 18

Imej via Utusan Online
KOTA BHARU 3 Sept.– Ibu bapa digalakkan untuk menghantar anak masing-masing ke taman bim­bingan kanak-kanak (tabika) yang dikendalikan kerajaan seperti ta­bika Kemas, tabika perpaduan dan prasekolah yang melaksanakan Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan (KSPK).

Ketua Pengarah Kemas, Datuk Amiruddin Ariffin berkata, pelaksanaan KSPK akan melengkapkan pembelajaran anak-anak untuk ke fasa seterusnya iaitu sekolah rendah.

Malah menurutnya, Kemas juga turut melaksanakan tiga modul baharu bagi melahirkan kanak-kanak yang cemerlang dalam aspek intelektual dan kerohanian.

“Tabika Kemas menyediakan rancangan pembelajaran secara menyeluruh bukan sahaja untuk membaca, menulis dan mengira. malah kita turut menyediakan modul baharu.

“Tiga modul berkenaan adalah memperkasakan pendidikan Islam, me­nanamkan semangat patriotik dan juga menanamkan semangat keyakinan diri dalam kalangan anak-anak tabika Kemas,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Pendidik Kemas dan Penyampaian Sijil SKM Sesi 2016 Kemas Negeri Kelantan di Sekolah Menengah Kebangsaan Kadok di sini baru-baru ini.

Yang turut hadir, Pengarah Kemas negeri, Anuar Mat Zin.

Pada majlis tersebut, seramai 80 peserta menerima sijil SKM ma­sing-masing dalam bidang masakan dan pembuatan pakaian wanita.

Dalam pada itu, Amiruddin berkata, selain modul pengajaran tabika Kemas, pihaknya juga akan terus memperkasakan kemudahan infrastruktur tabika berkenaan ber­gantung kepada keperluan semasa.

“Kemahiran serta kelayakan akademik guru-guru di tabika Kemas turut dipertingkatkan sekurang-kurangnya ke tahap diploma.

“Setakat ini, lebih 7,000 daripada 11,000 guru Kemas yang ber­khid­mat di seluruh negara sudah mempunyai diploma. Ini adalah untuk memastikan mereka mempunyai kemahiran serta pendidikan yang tepat untuk pendidikan awal kanak-kanak,” katanya.

Subscribe to receive free email updates:

Related Posts :