Update Isu rundingan kerusi PKR-PAS tamat >> Berita Malay 18

ISU rundingan kerusi dengan PAS sudah tamat, kata Naib Presiden PKR Rafizi Ramli, dan ini masa untuk semua pihak memberi perhatian yang sepenuhnya bagi menghadapi pilihan raya umum ke-14 (PRU14).
Rafizi berkata beliau membuat anggapan itu berdasarkan pada keputusan Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) menutup pintu kepada PAS sudah dipersetujui oleh Biro Politik PKR dan keputusan sama juga dihormati Timbalan Presiden PKR Azmin Ali yang juga Menteri Besar Selangor.
“Saya mengalu-alukan kenyataan Azmin untuk patuh kepada keputusan Majlis Presiden PH dan saya yakin sebagai pengarah pilihan raya PH, beliau ada ruang besar untuk menyumbang memperkasakan persediaan PH menghadapi BN, walaupun jika berlaku pertembungan tiga penjuru,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
“Oleh itu, ini masa untuk menjaga kawasan masing-masing dan menumpukan perhatian kepada kempen akar umbi untuk menghadapi PRU14 yang boleh dipanggil bila-bila masa dari sekarang.”
Rafizi sehubungan itu menyeru semua ahli PKR, dari pucuk pimpinan sampai ke akar umbi, untuk tidak melayan berita politik yang tidak membantu mengalahkan Umno dan Barisan Nasional (BN), yang katanya berpunca daripada “dua, tiga ahli Biro Politik” PKR.
Rafizi berkata beliau selama ini sengaja berdiam diri agar perlakuan “dua, tiga ahli Biro Politik” itu tidak sampai ke pengetahuan media ketika pimpinan parti sedang mengusahakan perbincangan dengan PAS.
Katanya, beliau juga mengambil keputusan tidak hadir ke mesyuarat Biro Politik “untuk mengurangkan kebarangkalian saya terpaksa membetulkan versi keputusan Biro Politik yang kerapnya diberikan tafsiran berbeza”.
Sebaliknya, sepanjang dua bulan lalu katanya, beliau menumpukan perhatian berkempen di 46 kerusi marginal di peringkat Parlimen dan dewan undangan negeri (DUN) di seluruh negara, melibatkan tujuh, lapan kerusi setiap minggu atau 61 ceramah keseluruhannya antara Julai dan Ogos.
“Saya yakin tanggungjawab berjumpa pengundi di bawah dan menyampaikan maklumat sebegini adalah lebih penting daripada melayan berita tidak sah yang direka oleh sumber yang tidak berani menerbitkan nama mereka sendiri,” kata Rafizi.
Rafizi minggu lalu mengeluarkan satu kenyataan terbuka mendesak PKR mengadakan satu kongres khas bagi membincangkan kedudukan rundingan kerjasama antara parti itu dengan PKR, yang digerakkan oleh Azmin.
Penasihat PKR Anwar Ibrahim hari ini menjelaskan rundingan yang diketuai oleh Azmin itu dalam pengetahuan beliau merestuinya.
Timbalan Ketua Pemuda PKR Dr Afif Bahardin dalam menjawab kenyataan Rafizi, mendedahkan Rafizi sudah lama tidak hadir ke mesyuarat biro politik dan sekiranya hadir beliau boleh membuat cadangan kepada setiausaha agung parti dan bukannya mengemukakan cadangan terbuka.
Read More / Baca Lagi >>

Subscribe to receive free email updates: