Update [JERANTUT] 'SAYA TAK DAPAT TIDUR LENA' >> Berita Malay 18


‘Saya tak dapat tidur lena’


Masalah gangguan gajah liar yang dihadapi penduduk Kampung Paya Garuk di sini seperti tidak menemui jalan penyelesaian.

Semalam, sekali lagi penduduk kampung itu diganggu sekumpulan gajah yang berada sekitar 20 meter sahaja dari rumah penduduk.

Kali ini, kumpulan gajah liar itu masuk dan merosakkan kawasan baharu kebun pisang dan kelapa matag.

Penduduk, Roslina Abd Rani, 49, berkata, dia terkejut apabila mendengar bunyi gajah sekitar jam 11 malam kelmarin.

“Dalam jam 11 malam saya ada dengar bunyi gajah. Kemudian tak lama lepas itu, sekitar jam 12 tengah malam saya dengan bunyi ranting kayu seperti dipijak sesuatu dalam kawasan kebun pisang berhampiran rumah.

“Saya tak dapat tidur lena sehinggalah jam 5 pagi saya dengar kumpulan gajah itu memijak atap zink yang ada di kawasan kebun pisang anak saudara saya itu,” katanya.

Tambahnya lagi, itu kali pertama kumpulan gajah menghampiri kawasan rumahnya dan merosakkan kebun pisang diusahakan anak saudaranya.

“Sebahagian pokok pisang dimusnahkan, lebih kecewa bila yang rosak tu anak pokok kelapa matag.

“Dia tanam sekitar 80 anak pokok dan dimaklumkan juga tak sampai 10 anak pokok kelapa matag yang tinggal,” katanya.

Dalam pada itu, ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Mohd Ramli Jaafar berkata, pihaknya telah melaporkan kepada pihak Jabatan Perhilitan.

“Jabatan itu ada hantar anggotanya untuk jejak kumpulan gajah liar itu semalam (kelmarin).

“Setakat ini penduduk kampung hanya pasang mercun selain bakar tayar untuk halau kumpulan haiwan liar itu.

“Kami tak tahu sama ada ia kumpulan yang sama dari sebelumnya sebab jumlah yang tak dapat dipastikan,” katanya.


Subscribe to receive free email updates: