Update [KUANTAN] POKOK HEMPAP DAPUR, WARGA EMAS TRAUMA >> Berita Malay 18


Pokok hempap dapur, warga emas trauma


"Baru lima minit saya keluar dari dapur ke ruang tamu , kalau saya lambat, tak tahu apa yang jadi," demikian kata warga emas, Rawyhah Ibrahim, 63, apabila pokok ara hutan menghempap bahagian dapur rumahnya di Lorong 3 RRM Semambu.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi semalam itu, pokok yang berusia puluhan tahun itu menghempap sebahagian ruang dapur dan bilik air rumah berkenaan.

Rawyhah berkata, dia sedang menghidangkan sarapan pagi untuk menantunya di ruang tamu sebelum terdengar bunyi kuat dari belakang rumah.

“Apabila saya ke dapur, saya lihat bumbung sudah pecah akibat dihempap pokok besar.

“Saya terdiam kerana terlalu takut sehingga menggigil, nasib baik saya tidak berada di dapur ketika itu,”katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.

Rawyhah tinggal di rumah itu bersama, anak bongsu , Norafaraliza Abdul Rafar, 29, dan menantu, Mohd Faiz Tamjis, 25.

Katanya, dia yang sudah tinggal di situ lebih 30 tahun lalu mengakui pernah membuat aduan mengenai pokok besar di Hutan Simpan Beserah berhampiran rumahnya.

“Memang makcik bimbang sebab pokok tersebut besar-besar. Kalau ribut dan angin kencang memang risau.

“Makcik rasa tak sedap hati sejak petang semalam lagi. Makcik bersyukur tiada orang yang cedera dalam kejadian pagi tadi,” katanya.

Menurutnya, pokok tersebut dipotong pasukan Bomba dan Penyelamat sebelum dibersihkan.

Sementara itu, jirannya, Hanafi Zakaria, 38, berkata, dia yang 16 tahun tinggal di situ turut bimbang bila kejadian itu berulang.

“Saya harap pihak berkuasa datang melihat keadaan di sini kerana insiden ini membimbangkan penduduk yang tinggal berhampiran hutan ini,” katanya.


Subscribe to receive free email updates: