Update Memalukan bila Kabinet bincang isu kedai dobi untuk umat Islam, kata Presiden Isma >> Berita Malay 18


Seperti sudah tidak ada isu lebih penting lain, tindakan Kabinet yang turut membincangkan kes kedai dobi khusus untuk umat Islam, amat memalukan, kata Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Ustaz Abdullah Zaik Abd Rahman.
Katanya, Isma sebagai pertubuhan Islam dan Melayu sederhana melihat kes kedai dobi itu sebagai isu kecil yang menjadi hak peribadi pengusaha dobi, dan tidak sepatutnya dibincangkan pada peringkat Kabinet.
“Ia menunjukkan seolah-olah Kabinet tiada kerja lain. Memalukan bila bincang isu kedai dobi, tapi tak bincang isu masyarakat yang lebih besar. Isu sekolah vernakular yang melebarkan jurang kaum.
“Isu judi, rumah urut, pesta arak, diskriminasi terhadap pekerja Islam, kekerasan, ugutan. Sepatutnya isu macam ini Kabinet kena ambil peduli,” katanya kepada Ismaweb, hari ini.
Kelmarin, media melaporkan isu dobi muslim dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet. Menerusi kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, yang juga Timbalan Presiden parti anti-Islam MCA, Wee Ka Siong, isu kedai dobi muslim itu dianggap bertentangan dengan pendirian kerajaan.
Ustaz Abdullah yang lantang mempertahan isu Islam dan Melayu berpendapat, pengusaha dobi ‘Mesra Muslim’ yang terpaksa mengubah polisi perkhidmatannya itu, tidak perlu rasa bersalah, meskipun dikecam sesetengah pihak.
Baginya, membuka kedai dobi yang dikhaskan hanya untuk orang Islam bukan esktrem.
“Jadi, dia tidak perlu kesal dikutuk kerana melakukan perkara yang betul. Lagipun, tidak ada sesiapa yang dipaksa untuk basuh baju di kedai dobi itu,” katanya.
Diminta mengulas dukungan wasatiyyah dan maqasid syariah kerajaan dan kaitannya dengan kedai dobi khas untuk umat Islam sebagaimana kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, beliau berkata:
“Ianya tidak kena pada tempatnya.”
Sejak minggu lepas, tular gambar papan tanda yang memaklumkan kedai dobi Elit Laundry di Muar, Johor hanya menerima pelanggan Islam atas faktor kesucian.
Bagaimanapun, pemilik kedai dobi berkenaan mengubah polisinya selepas dipaksa berbuat demikian, dan memohon maaf di atas tindakannya itu. - ismaweb

Subscribe to receive free email updates: