Sepanjang kira-kira dua dekad terlibat dalam bidang kewangan, Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli mengakui tidak pernah beliau menemui sebuah syarikat yang mencatatkan kerugian mencecah sehingga RM1 bilion setiap tahun.
Menurutnya, sejak Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) disenaraikan di Bursa Malaysia pada 2012, kumpulan Felda telah mencatatkan kerugian tahunan pada jumlah yang besar berturut-turut sehingga 2015.
"Pengalaman saya lebih kurang 20 tahun dalam bidang kewangan, saya tidak pernah jumpa syarikat rugi RM1 bilion setiap tahun. (Kerugian) Tak masuk tahun 2016, 2017. Mungkin lagi teruk?
"Namun, setakat ini yang dikeluarkan sehingga 2015, kerugian terkumpul daripada itu saja hampir RM3.9 bilion," dedahnya pada sidang media di Sungai Besi, Selangor hari ini.
Sehubungan itu, pengasas Invoke Malaysia berkenaan mahu memaklumkan kepada orang ramai terutama generas baru Felda yang antaranya menjadi golongan profesional selain akauntan bertauliah dan penganalisa kewangan tentang status Felda pada masa ini.
"Jika kumpulan Felda adalah sebuah syarikat biasa yang tidak dijamin kerajaan, dengan prestasi kewangan yang rugi lebih satu bilion ringgit setiap tahun, syarikat itu sudah tentu diisytihar muflis," tempelaknya.
Walaupun impak kejatuhan mendadak harga saham FGV tidak akan memberi kesan segera terhadap status kewangan kumpulan Felda, Rafizi berkata, masalah akan berlaku apabila kumpulan Felda tiba satu tahap terpaksa menjual kesemua saham FGV.
"Sebarang perubahan harga saham FGV tidak serta-merta mempengaruhi prestasi kewangan Felda. Ia hanya akan ditunjukkan sekaligus apabila Felda menjual saham-saham tersebut.
Read More / Baca Lagi >>