Update RCI Forex diminta tegakkan kebenaran panggil Anwar sebagai saksi >> Berita Malay 18



Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) diminta untuk tidak membuat kesimpulan atau keputusan pramatang atau memfitnah mana-mana pihak, tetapi untuk menegakkan kebenaran, kata Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau menegaskan keengganan Pengerusi RCI Bank Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan memanggil beliau sebagai saksi ke atas siasatan kerugian matawang asing Bank Negara Malaysia (BNM) adalah tidak wajar.
"Saya cukup terkejut apabila pengerusi Tan Sri Sidek menjawab bahawa mereka 'belum memutuskan' sama ada akan memanggil saya atau tidak.
"Memandangkan saya merupakan Menteri Kewangan pada ketika kejadian tersebut berlaku, sudah pasti ini bukan suatu keputusan yang sukar untuk dibuat!
"Amat menyedihkan jika siasatan ini ditutup tanpa mendengar keterangan saya," ujar Anwar dalam kenyataan hari ini.
Menurut Anwar pada 30 Ogos lalu, peguamnya memohon pengesahan bahawa beliau akan dipanggil sebagai saksi.
Oleh kerana sepanjang pendengaran diadakan namanya telah disebut beberapa kali, Anwar berpandangan amat mustahak beliaudibenarkan memberi keterangan.
"Suruhanjaya ini telah beberapa kali berkata bahawa ianya mahu menegakkan kebenaran dalam isu ini.
"Oleh itu, mereka pasti tahu bahawa cara terbaik adalah dengan membenarkan saksi-saksi kritikal seperti saya dan Tun Dr Mahathir, yang merupakan perdana menteri ketika itu, untuk memberi keterangan," ujarnya.

Selain Mohd Sidek, RCI itu turut dianggotai Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Kamaludin Md. Said, Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia Berhad Datuk Seri Tajuddin Atan dan Pengerusi Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan Tan Sri Saw Choo Boon. Turut terlibat Ahli Institut Akauntan Malaysia, K. Pushpanathan dan Setiausaha Bahagian Pelaburan Strategik Kementerian Kewangan, Datuk Yusof Ismail yang juga setiausaha suruhanjaya siasatan itu.
Sebelum ini, Pakatan Harapan, walaupun mengalu-alukan RCI itu, mempersoalkan motif di sebalik penubuhannya ketika Tun Dr Mahahir Mohamad yang merupakan perdana menteri ketika skandal itu kini berada disebelah pembangkang.
Sementara Anwar yang kini menjalani hukuman penjara, adalah menteri kewangan pada 1991 hingga 1998, ketika skandal kerugian itu berlaku.

Subscribe to receive free email updates: