Update TUN MAHADHIR LA NI ADA DIDALAM PAKATAN HARAPAN >> Berita Malay 18

Sukar lupakan tregedi Memali
Sukar lupakan tregedi Memali
 
Solehah dan Zaman Mahmud (dua, kanan) menunjukkan kelongsong peluru gas pemedih mata.
(Ubah saiz teks) 
 
BALING - Detik-detik kematian Ibrahim Mahmud atau dikenali sebagai Ustaz Ibrahim Libya akibat ditembak sukar dilupakan isterinya, Solehah Husain, 64.

Menurut Solehah, hingga kini kejadian malang menimpa suaminya itu sukar dilupakan.

“Suaranya menanggung kesakitan­ akibat ditembak masih terngiang-ngiang di telinga saya.

“Kehilangannya satu kerugian besar kepada ummah, adakah Tun Dr Mahathir Mohamad dan Umno lupa akan peristiwa ini?,” katanya.

Solehah berkata, peristiwa itu seolah-olah baru sahaja tercetus, sekalipun sudah lebih 30 tahun berlalu.

Menurutnya, sebagai isteri, dia sedih dan kecewa apabila ada pihak melemparkan tuduhan arwah sebagai pengamal ajaran sesat.

“Walaupun kejadian ini dah 30 tahun berlalu, tetapi peristiwa tersebut masih segar dalam ingatan­ kami para balu.

“Hati saya sebagai isteri juga cukup terkilan dengan tuduhan yang menuduh arwah seorang penjenayah dan mengamalkan ajaran sesat," katanya.

Menurutnya, mangsa dan waris menuntut keadilan terhadap insiden berkenaan.

“Mahathir dan Umno tahu siapa perancang utama peristiwa ini. Dia pemimpin waktu itu. Kenapa mari ke Memali dengan keganasan­?," katanya.

 Sementara itu, seorang mangsa, Zaman Mahmud, 65, berkata, Mahathir perlu membersihkan namanya selepas mengarahkan serangan ke atas penduduk.

“Mahathir dan pimpinan Umno terlibat secara langsung dengan peristiwa Memali, di tangan Mahathir dan parti lamanya masih ada darah mangsa Memali.

“Saya mohon beliau (Mahathir) dan kerajaan memerintah mohon maaf atas penganiayaan kepada semua mangsa,” dakwanya.

Isteri kepada salah seorang mangsa, Siti Mariam Omar, 61, berkata, dia sukar melupakan pengalaman menanggung hidup bersama anak dalam kandungan tanpa suami, Zamri Md Isa yang maut ditembak polis.

Menurutnya, selama lebih tiga dekad, tiada sebarang bantuan disalurkan kerajaan.
“Kerajaan bayar insurans nyawa kepada semua yang kehilangan suami sebanyak RM20,000. Tiada pampasan dibayar.

“Selama tiada suami, orang kampunglah yang banyak bantu bagi makanan dan sebagainya. Kalau sekarang baru nak bagi, makcik tak mau.

“Kenapa baru nak bagi sekarang? Kenapa tak bagi waktu anak dalam perut lagi?,” katanya.

Mengimbau kenangan pahitnya, Siti Mariam berkata, ketika kejadian, dia berada di rumah dan mendengar bunyi tembakan dari lokasi kejadian.

“Waktu itu saya mengandung, bunyi tembakan sangat jelas sebab rumah ni dengan rumah Ustaz Ibrahim tak jauh.

“Asap pemedih mata pun sampai masuk dalam rumah. Makcik yang tak tahu apa nasib suami di luar pengsan sebab terhidu asap,” Katanya.

Siti Mariam juga mengakui, masih menyimpan perasaan marah terhadap pihak yang menembak suaminya serta penduduk.

“Jika nak marah, rasa marah ni dekat orang yang tembak suami makcik. Kenapa tiba-tiba datang tembak penduduk termasuk ustaz yang hanya mengajar kitab?,” katanya.

Seorang lagi isteri mangsa serangan Memali, Rokiah Md Hasan, 56, berkata, seperti balu lain, dia juga merasa Mahathir sukar dimaafkan melainkan bekas perdana menteri itu tampil memohon maaf kepada semua mangsa di Memali.

“Perasaan marah terhadapnya masih belum hilang. Dia perlu mohon maaf kepada semua mangsa. Mereka yang lain, yang terlibat pun perlu mohon maaf,” katanya.

Menurutnya, pengalaman lampau itu kembali menghantuinya selepas peristiwa Memali kembali dibangkitkan.

“Saya ada darah tinggi dan masalah jantung. Bila isu ni dimainkan, memang beri kesan kepada kesihatan saya,” katanya.

Rokiah berkata, ratusan penduduk termasuk dia dan anak berusia setahun ditahan polis sejurus selepas kejadian.

“Saya hanya tahu arwah suami, Mohd Radzki Zakaria terbunuh selepas dibebaskan. Selepas kejadian­, saya dan anak berusia setahun dimasukkan dalam penjara.

“Kami ditahan kerana dituduh menjadi pengikut Ustaz Ibrahim Libya,” katanya.

Subscribe to receive free email updates: