Retorik mengutuk regim Myanmar tidak bermakna tanpa sekatan ekonomi, kata ketua pembangkang itu.
“Pemenang anugerah Nobel, Aung San Suu Kyi, juga gagal menunjukkan keprihatinan dan simpati terhadap etnik Rohingya dalam krisis kemanusiaan ini,” kata ketua pembangkang itu dalam kenyataan.
Bagaimanapun, beliau menggesa kerajaan Malaysia supaya tidak hanya mengutuk Yangon yang memaksa ratusan ribu penduduk Islam Rohingya menjadi pelarian.
Wan Azizah berkata regim Myanmar tidak akan menghentikan tindakannya di wilayah Rakhine tanpa sebarang strategi serantau menyelesaikan konflik itu.
Menurutnya, Malaysia boleh mengenakan sekatan perdagangan ke atas Yangon terutama ke atas barangan pengguna dan bahan bakar, tetapi ia juga perlu kerjasama kerajaan Asean lain.
“Tiada makna wujudnya satu kesepakatan ekonomi serantau seperti AEC sekiranya negara-negara anggota dibiarkan bertindak menzalimi warga di wilayah sendiri, terutama apabila kezaliman tersebut mungkin mendatangkan kesan negatif kepada seluruh rantau Asean dengan radikalisasi dan ekstremisme kelompok-kelompok tertentu,” katanya.
Statistik PBB menunjukkan hampir 300,000 kaum Rohingya tiba di Bangladesh selepas menjadi sasaran serangan tentera Myanmar. Negara itu tidak mengiktiraf penduduk Islam Rohingya sebagai warga negara.
Keganasan terkini tercetus selepas Yangon menuduh Tentera Pembebasan Arakan Rohingya (Arsa) melancarakan serangan ke atas pasukan keselamatan.