Presiden AMANAH, Mohamad Sabu mengingatkan tumpuan sepenuhnya perlu diberi dalam usaha Pakatan Harapan (PH) menentang Umno-BN pada pilihan raya akan datang kerana rakyat jarang memilih pihak yang kabur pendirian.
Sebaliknya, pengundi jelas memilih calon bertanding dari blok parti yang diyakini dapat mentadbir negara ini bukannya bersendirian seperti dapat dilihat dalam siri-siri pilihan raya lalu.
"Kita dalam PRU (pilihan raya umum) akan datang antara Pakatan Harapan lawan BN. Jangan kita 'dok uk ek ek' mana lagi dah.
"Selalunya, rakyat pilih kumpulan mana yang boleh memerintah sama ada pilih Pakatan Harapan atau tolak BN. Dua itu saja sama ada tolak BN atau pilih Pakatan Harapan.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Konvensyen AMANAH Selangor kali kedua di Auditorium Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), hari ini.
"Parti itu kebanyakannya akan hilang wang pertaruhan di seluruh pantai barat. Sebab itu, pengikut parti lama saya (Pas) datanglah bersama-sama Pakatan Harapan.
"Kalah tidak mahu AMANAH, pilih Keadilan. Tidak mahu Keadilan pilih Bersatu. Tidak mahu Bersatu, pilih DAP," ujarnya.
Mengulas dakwaan pihak Pas kononnya mengundi Pakatan Harapan bererti memberi undi kepada DAP, Mohamad mengakui berbangga dengan bentuk kempen tersebut kerana Pas dilihat tidak akan mendapat undi lagi.
"Saya berbangga, sebab kita juga boleh berkempen undi DAP bererti undi Pakatan Harapan. Undi Keadilan undi Pakatan Harapan.
"Undi AMANAH dan Bersatu bererti mengundi Pakatan Harapan. Mana ada undi untuk mereka (Pas) lagi?" katanya dalam nada berseloroh.