Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Mahathir Mohamad berkata lima teras yang diumumkan ini bagi menyokong lima tindakan dalam 100 hari pertama mereka dipilih menjadi Kerajaan Persekutuan.
“Lima teras itu adalah Reformasi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Reformasi Sumbangan Politik, Reformasi Meningkatkan Ketelusan, Mengamalkan Tender Terbuka Penggunaan Teknologi Benteras Rasuah dan Memperkenalkan Budaya anti-rasuah dalam kalangan masyarakat,” katanya.
Menerusi teras Reformasi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), mereka akan dijadikan badan bebas yang melapor dan bertanggungjawab kepada Parlimen selain diberikan kuasa pendakwaan dalam kes rasuah.
Pelantikan Ketua Pesuruhjaya pula akan dibuat oleh Yang Dipertuan Agong atas nasihat Jawatankuasa Parlimen.
Reformasi Sumbangan Politik menyaksikan setiap penyumbang terhad kepada maksimum RM200,000 setahun sahaja dan sumbangan melebih RM10,000 mesti direkodkan.
“Sumbangan politik tidak boleh diberikan GLC dan syarikat yang mempunyai kontrak dengan Kerajaan Persekutuan atau Negeri.
“Setiap parti politik wajib membuat laporan tahunan mengenai sumbangan politik dan perbelanjaan terus kepada Pejabat Ketua Audit Negara manakala Ketua Audit Negara pula akan melaporkannya kepada Parlimen,” katanya.
Di bawah teras Reformasi Meningkatkan Ketelusan, akta seperti Akta Perlindungan Saksi 2009, Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 dan Akta Rahsia Rasmi 1972 akan dipinda bagi meningkatkan ketelusan.
Turut akan digubal adalah Akta Kebebasan Maklumat seperti yang dilaksanakan di Selangor dan Pulau Pinang sementara wakil rakyat dan pegawai kanan kerajaan yang berpangkat Jusa C dan ke atas, pengurusan tertinggi GLC dan ke atas diwajibkan mengisytiharkan harta kepada Parlimen.
Semua tender terbuka dilakukan secara atas talian dan boleh diakses umum serta memperluaskan penggunaan sistem e-perolehan dan e-bidaan dalam semua kontrak kerajaan antara yang disenaraikan dibawah teras Mengamalkan Tender Terbuka Penggunaan Teknologi Benteras Rasuah.
Manakala menggunapakai ISO 37001 (Sistem Pengurusan Anti-Rasuah) dalam urustadbir badan-badan kerajaan diletakkan dalam teras memperkenalkan budaya anti-rasuah dalam kalangan masyarakat.